Selangorkini
AGENDA NASIONAL

Koronavirus: Lapan individu dikuarantin di sebuah hotel di JB

IPOH, 24 JAN: Lapan individu warganegara China yang tiba di Johor Bahru, Johor dari Singapura semalam kini diletakkan di sebuah hotel dengan pemantauan dan kawalan rapi Kementerian Kesihatan.

Timbalan Menteri Kesihatan Dr Lee Boon Chye berkata kesemua mereka merupakan rakan seperjalanan seorang lelaki warganegara China berusia 66 tahun dari Wuhan yang tiba di Singapura pada 20 Januari lepas sebelum disahkan positif novel coronavirus import.

Menurut Dr Lee, kesemua lapan individu terbabit perlu diasingkan sekurang-kurangnya satu minggu bagi mengenal pasti sekiranya mempunyai simptom coronavirus.

“Mereka bukan pesakit tetapi mereka dipantau untuk dikuarantin bagi melihat sama ada terdapat simptom atau tidak kerana mereka ada hubungan dengan pesakit yang positif coronavirus. Tetapi buat masa ini, mereka tidak ada (simptom),” katanya kepada pemberita selepas meninjau ketibaaan penerbangan dari Singapura di Lapangan Terbang Sultan Azlan Shah (LTSAS) di sini, hari ini.

Dalam pada itu, Dr Lee berkata pihaknya akan mempertingkatkan penggunaan mesin pengimbas suhu badan bagi mengesan virus coronavirus di semua kawasan lapangan terbang dan pintu masuk negara.

“Kita akan mempertingkatkan peralatan untuk buat saringan suhu badan di semua lapangan terbang dan pintu masuk,” katanya.

-BERNAMA


Pengarang :