AGENDABERITA UTAMANASIONAL

Koronavirus: Pendaftaran pelajar dari Hubei ditangguhkan

KUALA LUMPUR, 31 JAN: Kementerian Pendidikan Malaysia (KPM) menangguhkan sementara pendaftaran pelajar dari beberapa kawasan di wilayah Hubei, termasuk ibu negerinya Wuhan di semua institusi pendidikan di negara ini susulan penularan koronavirus 2019.

KPM dalam kenyataan memaklumkan penangguhan dibuat sehingga tarikh yang akan dimaklumkan kelak, namun pelajar dari wilayah lain di China dibenarkan mendaftar untuk belajar di Malaysia dengan pemantauan rapi daripada institusi pendidikan terlibat.

“Semua warga pendidik dan pelajar warganegara dan bukan warganegara yang tiba dari China perlu melalui saringan kesihatan di pintu masuk antarabangsa negara dan mematuhi arahan selanjutnya yang dikeluarkan oleh Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM).

“Pantau status kesihatan semua warga pendidik dan pentadbir serta pelajar yang membuat lawatan dari China melalui institusi pendidikan masing-masing,” kata KPM.

Kementerian memaklumkan akan sentiasa bekerjasama dengan KKM dan semua agensi terlibat dalam memastikan kesihatan warga pendidik, pentadbir dan pelajar di semua institusi pendidikan diberi perhatian.

Pada 27 Januari lalu, kerajaan mengambil keputusan untuk menggantung sementara semua kemudahan imigresen kepada rakyat China dari bandar Wuhan dan wilayah Hubei serta kawasan sekitarnya berkuat kuasa serta-merta.

Sehingga kini, sebanyak lapan kes disahkan positif koronavirus di negara ini semuanya membabitkan warganegara China.

-BERNAMA


Pengarang :