Timbalan Menteri Luar Negeri Datuk Marzuki Yahya ketika menjawab pertanyaan pemberita selepas menghadiri majlis sambutan Tahun Baru Cina anjuran Menteri Kewangan dan Dewan Perniagaan Tionghua Pulau Pinang di Pusat Konvensyen Setia SPICE pada 25 Januari 2020. Foto BERNAMA
AGENDANASIONAL

Koronavirus: Rakyat Malaysia di Wuhan selamat

GEORGE TOWN, 25 JAN: Rakyat Malaysia di Wuhan, China yang kebanyakannya terdiri daripada pelajar dan ekspatriat dilaporkan berada dalam keadaan selamat dan bebas daripada wabak koronavirus.

Timbalan Menteri Luar Datuk Marzuki Yahya berkata pihak kedutaan Malaysia di China sentiasa memantau keadaan rakyat negara ini yang menetap di sana dan terus menyalurkan maklumat berkaitan.

“Kita memantau rakan-rakan kita yang berada di sana (Wuhan) terutama warga Malaysia dan saya berharap sangat rakyat Malaysia yang berada di sana cepat-cepat menghubungi kedutaan kita di sana.

“Kedutaan kita beroperasi 24 jam untuk memantau segala maklumat dan segala permasalahan rakyat negara ini yang berada di Wuhan,” katanya kepada pemberita selepas menghadiri Majlis Sambutan Tahun Baharu Cina anjuran Menteri Kewangan Lim Guan Eng dan Dewan Perniagaan Cina Pulau Pinang di Pusat Konvensyen Setia SPICE di sini hari ini.

Marzuki berkata setakat pagi ini 1,300 orang disahkan terkena jangkitan wabak koronavirus dan peningkatan kematian juga dilaporkan bertambah daripada 21 orang kepada 46 orang, di Wuhan.

Sementara itu Marzuki berkata kerajaan tidak melarang mana-mana individu yang ingin ke Wuhan tetapi sebaik-baiknya mereka membatalkan hasrat ke sana pada masa ini bagi mengelakkan kejadian tidak diingini berlaku.

– BERNAMA


Pengarang :