AGENDASUKANKINI

Koronavirus tidak jejas Le Tour De Langkawi

SHAH ALAM, 29 JAN: Aspek pencegahan susulan penularan wabak koronavirus 2019 menjadi keutamaan penganjur Petronas Le Tour De Langkawi (LTdL) 2020.

Ketua Pegawai Operasi LTdL Shahaizereen A Hamid berkata buat masa ini hanya satu pasukan dari China menarik diri daripada perlumbaan yang dijadualkan berlangsung dari 6 hingga 15 Februari ini kerana bimbang penularan wabak itu, lapor Berita Harian.

“Secara rasmi satu pasukan sudah menarik diri semalam (kelmarin) disebabkan isu koronavirus. Kami masih menunggu pengesahan dua lagi pasukan dari China dan satu dari Hong Kong.

“Jadi, kami akan mematuhi arahan Kementerian Kesihatan supaya setiap pelumba (terutama) dari China diwajibkan membuat pemeriksaan kesihatan dan mengikut prosedur operasi standard ditetapkan,” katanya.

Sebanyak tiga pasukan berpangkalan di China iaitu Hengxiang Cycling, Giant Cycling dan Ssois Mioge Cycling Team.

LTdL 2020 yang membabitkan jarak keseluruhan 1,114.9 kilometer merentasi sembilan negeri bakal membuka tirai pada Majlis Pengenalan Pasukan di Kota Kinabalu, Sabah pada 5 Februari ini.


Pengarang :