AGENDA NASIONAL

KPKT peruntuk RM1 juta bina kawasan khas merokok

PUTRAJAYA, 7 JAN: Kementerian Perumahan dan Kerajaan Tempatan (KPKT) memperuntukkan RM1 juta kepada 155 pihak berkuasa tempatan (PBT) di seluruh negara bagi membina kawasan khas merokok di tempat awam.

Menterinya Zuraida Kamaruddin berkata PBT akan mengemukakan garis panduan yang telah disediakan dalam masa terdekat untuk pemilik-pemilik kedai makan yang mahu memohon disediakan kawasan khas merokok, lapor FMT.

“Kawasan merokok hendaklah sekurang-kurangnya 3 meter dari meja makan yang terdekat dan sebarang makanan atau minuman tidak boleh disediakan, dijual atau dihidang di dalam kawasan merokok tersebut bagi mematuhi peraturan Kementerian Kesihatan Malaysia,” katanya pada sidang media di sini hari ini.

Katanya, konsep pembinaan kawasan khas itu seperti dua unit perintis yang dibina di tapak projek Senario Ampang dan [email protected] oleh Majlis Perbandaran Ampang Jaya (MPAJ) pada 20 Disember lalu.

“Kita menyokong Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) terhadap inisiatif larangan merokok tetapi turut prihatin terhadap aduan kesukaran perokok merokok di tempat awam,” katanya.

Pada 5 Januari lalu, Timbalan Menteri Kesihatan Dr Lee Boon Chye berkata premis makanan tidak dibenarkan menyediakan ruang khas untuk merokok buat pelanggan di dalam kawasan operasi perniagaan.

Menurut Boon Chye, ruang khas merokok di luar kawasan itu di bawah bidang kuasa PBT.


Pengarang :