Covid-19 mencetuskan kebimbangan seluruh dunia akibat penularannya yang cepat. Foto BERNAMA
AGENDANASIONAL

KTMB patuhi garis panduan cegah penularan koronavirus

KUALA LUMPUR, 25 JAN: Keretapi Tanah Melayu Berhad (KTMB) mematuhi garis panduan yang dikeluarkan Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) untuk mengekang penularan wabak koronavirus sejurus berita wabak itu mula dikesan di rantau ini.

Ketua Pegawai Eksekutif KTMB, Datuk Kamarulzaman Zainal berkata pematuhan itu melibatkan semua kakitangan yang bertugas di kedua-dua pintu masuk utama perkhidmatan kereta api di Johor Bahru, Johor dan Padang Besar, Perlis.

“Semua kakitangan yang bertugas di stesen dan di dalam setiap kereta api yang beroperasi di kedua-kedua pintu masuk utama negara itu diarah mematuhi aspek-aspek kesihatan dan keselamatan.

KTMB mengendalikan lebih 8,000 penumpang di pintu masuk Johor Bahru Sentral setiap hari, menerusi 31 perkhidmatan tren Shuttle Tebrau di antara Johor Bahru dengan Woodlands, Singapura,” katanya dalam satu kenyataan di sini hari ini.

Beliau berkata lebih 300 penumpang pula menggunakan Stesen Padang Besar untuk menaiki tren-tren seliaan State Railway of Thailand (SRT) sehari.

Kamarulzaman berkata langkah keselamatan itu turut membabitkan semua kakitangan perkhidmatan tren kargo yang berulang-alik di antara Thailand dengan Semenanjung Malaysia.

Antara langkah kesihatan dan keselamatan diambil, termasuk mewajibkan pemakaian topeng muka oleh kakitangan, hebahan panduan pencegahan wabak kepada para penumpang serta bantuan kepada unit saringan dan kuarantin KKM.

– BERNAMA


Pengarang :