AGENDANASIONAL

KTMB sedia khidmat komuter 24 jam sempena Thaipusam

KUALA LUMPUR, 30 JAN: Keretapi Tanah Melayu Berhad (KTMB) bakal menyediakan perkhidmatan KTM komuter 24 jam tanpa henti bermula 7 hingga 10 Februari ini sempena sambutan Thaipusam.

Ketua Kawalan Operasi KTMB Mohd Zain Mat Taha berkata 310 perkhidmatan komuter tambahan turut disediakan tahun ini, menjadikan sejumlah 832 perkhidmatan kesemuanya bagi tempoh empat hari tiga malam itu khusus untuk kemudahan pengguna dan pengunjung dari dalam dan luar negara.

“Perkhidmatan ini bermula pada 7 Feb (Jumaat) 5.45 pagi dan tamat pada 10 Februari (Isnin) 9.36 malam, yang mana komuter bagi laluan ke dan dari Stesen Batu Caves akan ditambah serta dilanjutkan waktu operasinya sempena Thaipusam. Ini membabitkan Laluan Batu Caves-Seremban-Batu Caves serta Laluan Pelabuhan Klang-Kl Sentral-Pelabuhan Klang dengan kekerapan perkhidmatan tren bagi setiap 30 minit.

“Sebanyak 24 stesen akan dibuka sepanjang tempoh ini antaranya melibatkan stesen Batu Caves, Taman Wahyu, Sentul, Kuala Lumpur Sentral, Nilai dan Seremban. Namun tiada perkhidmatan tren tambahan ke dan dari stesen Laluan Tanjung Malim-Segambut-Tanjung Malim,” katanya pada sidang media Perkhidmatan KTM Komuter sempena Thaipusam 2020 di sini, hari ini.

Beliau berkata bagi memudahkan penumpang yang akan berkunjung ke Batu Caves tahun ini, KTMB akan membuka Platfrom 2 di Stesen Batu Caves buat pertama kalinya bagi memastikan kelancaran aliran keluar masuk penumpang, yang mana ia dikhususkan bagi penumpang yang menggunakan komuter di Laluan Batu-Caves-Sentul-Batu Caves.

“Komuter Shuttle di antara Stesen Batu Caves dan Sentul ini akan disediakan dengan kekerapan 30 minit, sementara KTMB turut menyediakan bas pengantara di Stesen Sentul bagi penumpang yang ingin meneruskan perjalanan ke Stesen KL Sentral dengan tambang RM1 bagi penumpang dewasa manakala percuma bagi kanak-kanak bawah 12 tahun pemegang tiket konsesi dua hala (warga emas dan Orang Kurang Upaya),” jelas Mohd Zain.

Jelasnya, seramai 350 orang kakitangan KTMB akan bertugas bagi memastikan kelancaran semua perkhidmatan komuter dan pergerakan penumpang, di samping bekerjasama dengan Polis Di Raja Malaysia (PDRM) dan pasukan pertolongan cemas St. John Ambulans.

“Malahan kita turut bekerjasama dengan Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) (sari segi) tinjauan kesihatan dan aspek keselamatan penumpang di stesen-stesen kita susulan laporan mengenai jangkitan 2019 novel Koronavirus di Malaysia. Oleh itu penumpang dinasihatkan sentiasa membawa dan memakai topeng muka bagi menjaga kesihatan diri dan keluarga masing-masing,” katanya.

-BERNAMA


Pengarang :