Dato’ Seri Amirudin Shari mencuba simulator helikopter di Kompleks Kawalan Trafik Udara, Subang. Foto FIKRI YUSOF/SELANGORKINI
AGENDABERITA UTAMANASIONALPILIHAN MINGGUAN

Kuasai 70 peratus aeroangkasa, Selangor kekal pilihan pelabur

SHAH ALAM, 22 JAN: Selangor yakin akan menguasai 70 peratus pelaburan dalam industri aeroangkasa di negara ini, kata Dato’ Menteri Besar.

Dato’ Seri Amirudin Shari berkata Kerajaan Negeri ketika ini dalam peringkat akhir perbincangan dengan pengeluar pesawat terkemuka Airbus untuk membuka fasiliti di Selangor.

“Pada 2015, Selangor menguasai 62 peratus industri aeroangkasa dan meningkat kepada 65 peratus pada 2019.

“Kita yakin Selangor akan menguasai industri aeroangkasa dalam tempoh terdekat,” katanya dalam wawancara Program Bicara Politikonomi di RTM malam ini.

Foto FIKRI YUSOF/SELANGORKINI.

Mengulas tanggapan pelabur beralih ke negeri-negeri lain, Amirudin berkata Selangor kekal sebagai destinasi pilihan pelabur domestik dan antarabangsa.

“Sehingga September 2019 nilai pelaburan di Selangor berjumlah RM16.4 bilion manakala nilai pelaburan Pulau Pinang pula adalah RM13.25 bilion.

“Selangor kekal destinasi pilihan walaupun ada pesaing dari Pulau Pinang dan Johor. Ia didorong oleh peningkatan penggunaan teknologi tinggi dalam industri,” katanya.

Sehubungan itu, beliau berkata Selangor yakin dapat meningkatkan sumbangan Keluaran Dalam Negara Kasar kepada 30 peratus menjelang 2030.

Pada 2018, Selangor muncul penyumbang terbesar KDNK pada kadar 23.7 peratus dengan nilai pelaburan lebih RM18.97 bilion membabitkan 241 projek.

“Ia dipacu oleh pertumbuhan ekonomi digital yang kukuh, seiring matlamat kerajaan negeri ke arah negeri pintar,” katanya.

Dalam perkembangan lain, Amirudin berkata Subang Jaya menjadi lokasi terawal di Selangor yang dipilih Telekom Malaysia Berhad (TM) selepas Langkawi bagi memulakan Projek Demonstrasi 5G (5GDP) selama enam bulan.

Pada 19 Januari lalu, Perdana Menteri Tun Dr Mahathir Mohamad meninjau pelaksanaan 11 projek berkenaan antaranya di lapangan terbang dan hospital pulau peranginan itu.

Dalam wawancara sama, Amirudin berkata Kerajaan Negeri turut memberi penekanan kepada program teknikal dan vokasional untuk generasi muda.

“Kita tidak mahu program teknikal dan vokasional menjadi pilihan kedua orang muda,” katanya.

Selain itu, Kerajaan Negeri turut menyediakan pelbagai insentif untuk pelajar, misalnya Program Selangor BITARA yang membuka peluang kepada golongan itu melanjutkan pengajian doktor falsafah di universiti terkemuka luar negara.


Pengarang :