AGENDA NASIONAL

KWSP sambut baik keputusan kekalkan status pemilikan PLUS

KUALA LUMPUR, 17 JAN: Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP) menyambut baik keputusan kerajaan untuk mengekalkan status pemilikan PLUS Malaysia Berhad.

Ketua Pegawai Eksekutif KWSP Tunku Alizakri Raja Muhammad Alias berkata pihaknya menerima baik keputusan yang telah dimuktamadkan dan arahan jelas Perdana Menteri Tun Dr Mahathir Mohamad berkenaan masa depan konsesi lebuh raya itu.

“Keputusan ini akan meredakan spekulasi yang lama berlarutan dan membolehkan semua pihak melangkah hadapan,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Awal hari ini Pejabat Perdana Menteri mengumumkan bahawa caj tol bagi pengguna kenderaan persendirian yang memasuki lebuh raya kendalian PLUS akan dikurangkan sebanyak 18 peratus berkuat kuasa 1 Februari dan tidak akan ada kenaikan tol sehingga 2058.

Keputusan berkaitan perkara itu dibuat dalam mesyuarat Kabinet pada 15 Januari.

“Keputusan ini menunjukkan kerajaan amat peka terhadap keperluan melindungi kepentingan 14.6 juta ahli KWSP.

“Pengurangan kadar tol juga membawa manfaat kepada ahli KWSP yang merupakan sebahagian besar daripada 1.7 juta pengguna harian lebuhraya PLUS,” kata Tunku Alizakri.

Beliau berkata, KWSP yang juga pemegang Sukuk PLUS, akan bekerjasama dengan pemegang-pemegang Sukuk yang lain untuk memastikan kepentingan bersama dilindungi.

Beliau melahirkan keyakinan bahawa kerajaan akan menerima baik input daripada mereka dan “bertindak sewajarnya. ”

Tunku Alizakri berkata KWSP akan bekerjasama rapat dengan PLUS dan pihak-pihak berkaitan untuk melaksanakan pengurangan kadar tol 18 peratus secepat yang mungkin memandangkan tempoh masa yang singkat dan cabaran pelaksanaannya.

-BERNAMA


Pengarang :