Gambar ilustrasi diambil pada 24 Julai 2019 di Paris menunjukkan logo aplikasi video Amazon Prime pada skrin tablet. Foto AFP
AGENDANASIONAL

Lapan filem tempatan boleh ditonton di Amazon Prime AS, UK

KUALA LUMPUR, 21 JAN: Lapan filem Malaysia kini boleh ditonton melalui perkhidmatan langganan video atas permintaan, Amazon Prime untuk peminat filem di Amerika Syarikat (AS) dan United Kingdom (UK).

Filem itu ialah Mukhsin, J Revolusi, Kampung Drift, Songlap, KIL, Chow Kit, Balada Pencinta dan Anak Jantan.

Pengurus Besar Primeworks Distribution Sdn Bhd (Primeworks Distribution) Lyn Nasihin dalam kenyataan mengumumkan tayangan filem itu di Amazon Prime berkata ia adalah pengiktirafan bagi pengkarya filem Malaysia.

“Negara kita mempunyai ramai insan seni yang berbakat, menghasilkan drama dan filem untuk daya tarikan global. Kami amat berbangga dan teruja melihat mereka mendapat perhatian di peringkat antarabangsa yang sememangnya layak.

“Ini hanyalah permulaan hubungan kami dengan Amazon Prime dan kita akan melihat lebih banyak kandungan Malaysia di platform itu,” katanya.

Amazon Prime dengan 100 juta pengguna di seluruh dunia adalah perkhidmatan langganan berbayar yang ditawarkan oleh gergasi teknologi AS Amazon, yang memberi pengguna akses kepada perkhidmatan termasuk penstriman muzik, video dan sebagainya.

Pelepasan tajuk-tajuk filem ini di Amazon Prime memperlihatkan komitmen Primework Distribution untuk membawa kandungan Malaysia yang terbaik kepada khalayak antarabangsa dengan memperluaskan pengedaran global di platform digital popular seperti Amazon Prime.

Perkongsian itu dibincang dan dimuktamadkan di International Market of Communications Programmes (MIPCOM), pasaran kandungan hiburan terbesar dunia yang diadakan setiap tahun di Cannes, Perancis, iaitu Primeworks Distribution hadir di bawah payung Perbadanan Pembangunan Filem Negara Malaysia (Finas).

Primeworks Distribution juga menzahirkan penghargaannya kepada Kementerian Komunikasi dan Multimedia Malaysia dan Finas atas bimbingan dan sokongan yang tidak ternilai dalam usaha itu.

– BERNAMA


Pengarang :