AGENDANASIONAL

Lapan pelancong China di Johor Bahru tiada gejala koronavirus

KULAI, 24 JAN: Hasil saringan Jabatan Kesihatan Negeri Johor (JKNJ) ke atas lapan pelancong warga China di Johor Bahru hari ini menunjukkan tiada tanda-tanda atau gejala jangkitan koronavirus.

Pengerusi Jawatankuasa Pendidikan, Kesihatan dan Sumber Manusia Johor Aminolhuda Hassan semasa mengesahkan perkara itu berkata empat individu dewasa dan empat kanak-kanak dari Wuhan itu, kini berada di sebuah hotel di negeri ini dan dipantau oleh JKNJ selama 14 hari.

Bagaimanapun, beliau berkata lapan individu itu tidak dihalang untuk pulang ke negara asal dalam tempoh berkenaan memandangkan sampel klinikal untuk ujian pengesanan virus 2019-nCoV menunjukkan kesemua mereka bebas daripada virus itu.

Lapan individu berkenaan, katanya, mempunyai kontak dengan seorang lelaki China di Singapura yang disahkan positif virus itu, berada di negeri ini sejak semalam.

“JKNJ telah bertindak segera dengan mengesan kesemua kontak dan telah lakukan saringan untuk periksa status kesihatan.

“Hasil saringan menunjukkan mereka sihat dan tiada tanda-tanda ataupun gejala jangkitan berkenaan sehingga hari ini. Malah sampel klinikal juga telah diambil untuk ujian pengesanan virus (2019-nCoV) yang menunjukkan mereka bebas daripada virus itu,” katanya kepada pemberita di sini, hari ini.

Menurutnya, pergerakan lapan individu terbabit juga adalah terhad dan akan dipantau oleh JKNJ.

“Mereka boleh duduk di sekitar hotel dan berada dalam kawalan kita sebagai langkah berjaga-jaga,” katanya.

Semalam, seorang lelaki China berusia 66 tahun di Singapura disahkan positif novel koronavirus import.

Sementara itu, Aminolhuda berkata JKNJ akan memantau secara rapi pelancong di semua laluan masuk di negeri itu dengan membuat pemeriksaan suhu badan untuk menentukan sama ada pelawat berkenaan demam atau batuk.

“Jika sihat dan suhu normal, tidak akan ditahan tetapi semua warganegara China, Singapura atau mana-mana pelancong yang datang, mereka akan diberi risalah yang mengatakan dalam tempoh 14 hari jika ada gejala harus segera ke hospital berdekatan,” katanya.

– BERNAMA


Pengarang :