Datuk Huzir Mohamed. Foto BERNAMA
AGENDANASIONAL

Laporan analisis video seks menteri telah diterima – Bukit Aman

KUALA LUMPUR, 6 JAN: Laporan analisis yang dijalankan oleh pakar dari Amerika Syarikat (AS) terhadap video seks yang dikaitkan dengan seorang menteri telah diterima pada akhir bulan lepas, kata Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah Bukit Aman Datuk Huzir Mohamed.

Menurut Huzir ia termasuk dapatan tentang ketulenan video berkenaan dan laporan itu diserahkan kepada Jabatan Peguam Negara.

“Polis dan Jabatan Peguam Negara akan memberikan kenyataan berhubung siasatan kes video seks itu dalam masa terdekat,” katanya pada sidang media khas sempena pencapaian tahun 2019 dan perancangan tahun 2020 Polis Diraja Malaysia (PDRM) di Bukit Aman, di sini.

Pada tahun lepas, PDRM mendapatkan kepakaran AS untuk mengesahkan ketulenan video seks yang melibatkan seorang menteri.

Dalam perkembangan lain Huzir memaklumkan Unit Siasatan Jenayah Terkelas Bukit Aman​​​​ berjumpa dengan Peguam Negara petang ini, berhubung tiga kes yang sedang disiasat unit berkenaan.

“Ia berkait dengan siasatan kes video seks melibatkan seorang menteri berkenaan, akuan bersumpah (SD) Muhammed Yusoff Rawther terhadap Datuk Seri Anwar Ibrahim dan SD Azilah Hadri terhadap Datuk Seri Najib Razak,” katanya.

-BERNAMA


Pengarang :