Jabatan Kesihatan Negeri Selangor mengeluarkan notis kompaun kepada 64 individu termasuk enam daripada mereka bawah umur dalam operasi penguatkuasaan larangan merokok di premis makanan dan restoran di negeri ini pada 1 Januari 2020. Foto Ihsan Jabatan Kesihatan Negeri Selangor
AGENSIBERITA UTAMASELANGOR

Larangan merokok: 64 individu di Selangor diberi notis kompaun

SHAH ALAM, 1 JAN: Jabatan Kesihatan Negeri Selangor (JKNS) mengeluarkan notis kompaun kepada 64 individu termasuk enam daripada mereka bawah umur dalam operasi penguatkuasaan larangan merokok di premis makanan dan restoran di negeri ini setakat jam 3 petang tadi.

Pengarah JKNS, Datuk Dr Khalid Ibrahim berkata, seramai 51 individu dikenakan kompaun di bawah Peraturan 11(1)(d) kerana mengingkari larangan merokok di premis menjual makanan.

Katanya, lima pemilik premis pula dikenakan notis kompaun di bawah Peraturan 12(1)(a) kerana tidak memasang tanda larangan merokok di kedai masing-masing.

“Dua pemilik premis yang masih membenarkan orang merokok dengan menyediakan bekas abu rokok dikenakan notis kompaun di bawah Peraturan 12(1)(b).

“Enam lagi individu bawah umur dikenakan notis kerana merokok di tempat larangan di bawah Peraturan 11 (1)(d) iaitu dalam mana-mana tempat makan atau kedai berhawa dingin,” katanya dalam kenyataan.

Dr Khalid berkata, kesemua mereka diberikan Notis Memerintahkan Kehadiran di Mahkamah (Notis Di Bawah Seksyen 32B) dengan keseluruhan jumlah tawaran kompaun yang dikeluarkan bernilai RM15,100.

Katanya, individu terbabit diberikan tempoh dua bulan untuk menjelaskan bayaran kompaun di mana-mana Pejabat Kesihatan Daerah berhampiran.

“Bagi mereka yang melakukan kesalahan kali pertama akan diberikan pengurangan kadar bayaran kompaun iaitu RM150 daripada RM250 jika membuat pembayaran dalam tempoh sebulan.

“Sekiranya bayaran dibuat selepas sebulan, tiada pengurangan dan kesalahan kali kedua, nilai kompaun dikenakan RM250 tanpa pengurangan.

Mengulas lanjut, Dr Khalid berkata, bagi tempoh Januari sehingga Jun 2020, tawaran nilai kompaun dikenakan adalah RM350 bagi kesalahan kali ketiga, namun selepas tempoh itu, tindakan pendakwaan akan diambil.

Katanya, Orang Kena Notis yang tidak menjelaskan bayaran dalam tempoh ditetapkan akan diambil tindakan pendakwaan di mahkamah.

“Di bawah Peraturan 11, Peraturan-Peraturan Kawalan Hasil Tembakau 2004 mana-mana individu yang melakukan kesalahan merokok di tempat larangan boleh dikenakan denda tidak melebihi RM10,000 atau penjara tidak melebihi dua tahun.

“Di bawah Peraturan 12, Peraturan-Peraturan Kawalan Hasil Tembakau 2004, semua pemilik, pengusaha atau tuan punya premis dan kenderaan yang gagal mempamerkan tanda larangan merokok yang jelas boleh dikenakan tindakan denda tidak melebihi RM3,000 atau penjara tidak melebihi enam bulan.

“Bagi kesalahan gagal memastikan tiada orang merokok dan menyediakan kemudahan untuk merokok boleh dikenakan denda tidak melebihi RM5,000 atau penjara tidak melebihi setahun,” katanya.

Terdahulu, sebanyak 260 premis makanan di Selangor diperiksa dalam Operasi Penguatkuasaan Peraturan-Peraturan Kawalan Hasil Tembakau 2004 (Op PPKHT) yang bermula jam 10 pagi.

Operasi yang akan diteruskan sehingga jam 12 tengah malam ini menyasarkan beberapa kawasan panas hasil risikan sebelum ini membabitkan 96 anggota Pegawai Diberikuasa iaitu Pegawai dan Penolong Pegawai Kesihatan Persekitaran.


Pengarang :