Kempen larangan merokok dan rokok elektronik (vape) di premis makanan. Foto BERNAMA
AGENDABERITA UTAMANASIONAL

Larangan merokok: Ramai beri alasan ‘tidak tahu’

KUALA LUMPUR, 2 JAN: Masih ada yang ingkar dengan arahan larangan merokok di semua restoran dan premis makanan pada hari pertama penguatkuasaan penuh di seluruh negara, semalam.

Menerusi operasi Penguatkuasaan Peraturan-Peraturan Kawalan Hasil Tembakau 2004 (Op PPKHT) yang dijalankan di beberapa negeri, masih ramai yang berdegil dengan memberi alasan tidak tahu mengenai larangan tersebut, walaupun penguatkuasaan pendidikan selama 12 bulan telah dijalankan.

Bagi mereka yang didapati merokok di kawasan larangan termasuk di semua tempat makan akan dikenakan kompaun sebanyak RM250.

Di KUALA LUMPUR, empat notis kompaun dikeluarkan dalam operasi penguatkuasaan yang dilakukan di tiga lokasi bermula kira-kira 11.30 pagi semalam.

Penolong Pegawai Kesihatan Persekitaran Kanan Pejabat Kesihatan Titiwangsa Nordayana Musa yang mengetuai operasi itu berkata, ada perokok yang merayu supaya hanya diberikan amaran dengan memberi alasan tidak tahu mengenai penguatkuasaan larangan merokok tersebut.

Di PAHANG, 51 individu menjadi kumpulan pertama dikenakan kompaun kerana ingkar larangan tidak merokok dalam premis makanan di seluruh negeri itu, setakat 2 petang.

Pengarah Kesihatan Pahang Datuk Dr Sha’ari Ngadiman berkata empat premis makanan juga dikenakan kompaun masing-masing dua atas kesalahan membenarkan pelanggan merokok dan tidak menampal notis larangan merokok.

Pegawai Penguat kuasa Kesihatan mengeluarkan notis kesalahan kepada perokok yang didapati merokok di kawasan larangan merokok di sebuah restoran di Meru Raya. Foto BERNAMA

“Sehingga kini, sebanyak 656 premis perniagaan makanan telah diperiksa dan kita akan meneruskan operasi ini sehingga tengah malam dengan sasaran utama medan selera dan restoran 24 jam,” katanya ketika dihubungi Bernama.

Beliau memaklumkan pelaksanaan Op PPKHT yang bermula 9 pagi, melibatkan 186 kakitangan Bahagian Penguatkuasaan Jabatan Kesihatan Pahang.

Di NEGERI SEMBILAN, operasi yang dijalankan secara serentak oleh 95 pegawai penguat kuasa dari tujuh Pejabat Kesihatan Daerah di seluruh negeri itu merekodkan 42 notis dikeluarkan menerusi pemeriksaan ke atas 379 premis makanan.

Ketika ditemui pemberita, Pengarah Kesihatan Negeri Sembilan Datuk Dr Zainuddin Mohd Ali berkata tujuh daripada notis itu dikeluarkan kepada pemilik premis berkaitan kesalahan tidak mempamerkan tanda larangan merokok.

Lapan notis pula dikeluarkan berkaitan tanggungjawab pemilik dalam memastikan bahawa tiada individu merokok di dalam premis mereka.

Di PERAK, lima premis makanan di sekitar Jelapang, Ipoh ​​​​​​​diperiksa dalam operasi selama dua jam bermula 10 pagi membabitkan 16 kakitangan Pejabat Kesihatan daerah Kinta.

Sepanjang operasi berkenaan, tinjauan Bernama mendapati rata-rata pengusaha makanan terkejut dengan kehadiran kakitangan itu ke premis makanan mereka seolah-olah tidak peka dengan penguatkuasaan larangan merokok yang bermula semalam.

Bagaimanapun, tiada kompaun dikeluarkan dengan pelanggan akur dengan mematuhi arahan selain pengusaha makanan turut meletakkan tanda larangan merokok di premis masing-masing.

Di KELANTAN, tinjauan Bernama di premis-premis makanan terutamanya di kawasan kampung mendapati masih terdapat individu yang tidak mengendahkan penguatkuasaan larangan merokok tersebut.

-BERNAMA


Pengarang :