Datuk Seri Dr Dzulkefly Ahmad menunjukkan berita palsu yang viral ketika sidang media selepas melakukan lawatan kerja di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) dan KLIA2 bagi meninjau persiapan Pusat Pemantauan Saringan Suhu Badan bagi mengesan jangkitan 2019 Novel Koronavirus (2019-nCoV) yang berfungsi 24 jam hari ini. Foto BERNAMA
AGENDABERITA UTAMANASIONAL

Lawan berita tular dalam episod koronavirus

KUALA LUMPUR, 27 JAN: Penularan koronavirus 2019 bukanlah satu-satunya perkara yang menjadikan Kementerian Kesihatan sibuk sekarang ini.

Berita palsu, spekulasi dan khabar angin berkaitan perkara itu yang tular di media sosial turut menambah ‘kerja’ kementerian.

“Kita mempunyai dua masalah… masalah virus satu, tetapi masalah yang lebih meruncing nampaknya penularan berita palsu seumpama ini,” kata Menteri Kesihatan Datuk Seri Dr Dzulkefly Ahmad kepada media hari ini.

Beliau berkata antara fakta yang mengelirukan ialah tuduhan oleh ramai netizen bahawa Malaysia tidak serius dalam menangani masalah itu kerana masih belum menyekat pelancong China daripada masuk ke negara ini.

Menteri Kesihatan menegaskan Malaysia mematuhi IHR 2005 (Peraturan Kesihatan Antarabangsa) dan oleh itu sebarang tindakan hanya boleh diambil berdasarkan syor WHO (Pertubuhan Kesihatan Sedunia) dan PHEIC (Kecemasan Kesihatan Awam dengan Kebimbangan Antarabangsa).

Dr Dzulkefly berkata demikian selepas melakukan lawatan kerja di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) dan Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur 2 (klia2) di Sepang, hari ini.

Sebelum itu, Kementerian Kesihatan menafikan berita palsu bahawa seorang banduan mati selepas makan limau mandarin yang dijangkiti virus itu, dan pelajar Malaysia yang pulang dari Wuhan dimasukkan ke hospital di Ipoh.

Bukan itu sahaja, gambar tular yang menunjukkan pesawat penuh dengan penumpang warga China tiba di Langkawi untuk melarikan diri dari koronavirus di negara mereka menimbulkan kebimbangan.

Bagaimanapun, syarikat pelancongan yang membawa masuk kumpulan berkenaan menafikan dakwaan itu dan menyatakan bahawa mereka hanya penumpang agensi pelancongan itu dari Nanjing, China.

Malah Polis Diraja Malaysia (PDRM) dan Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia hari ini memberi amaran bahawa tindakan tegas akan diambil terhadap pihak tidak bertanggungjawab yang menyebarkan kandungan, berita palsu atau khabar angin mengenai koronavirus.

Sementara itu, Agensi Berita China, Xinhua melaporkan pihak berkuasa kesihatan China hari ini mengumumkan 80 kematian dan 2,744 kes penyakit radang paru-paru yang disahkan akibat koronavirus, dengan 461 kritikal.

Wuhan dan tujuh bandar berdekatan lain terus ditutup bagi mengelak penyebaran penyakit itu.

Setakat ini, Amerika Syarikat, Perancis, Malaysia, Singapura, Thailand, Australia, Jepun, Nepal, Korea Selatan, Taiwan dan Vietnam juga melaporkan kes koronavirus yang disahkan tetapi jumlahnya terhad.

-BERNAMA


Pengarang :