Penduduk terus melakukan aktiviti menangkap ikan di tasik Taal walaupun berlaku letusan gunung berapi di bandar Tanauan, Wilayah Batangas selatan Manila pada 14 Januari 2020. Foto AFP
AGENDAGLOBAL

Letusan gunung berapi, 19 pelajar Malaysia dipindah ke Manila

KUALA LUMPUR, 14 JAN: Kementerian Luar memindahkan 19 pelajar Malaysia yang menuntut di Adventist University of Philippine dari Batangas ke Manila ekoran letusan Gunung Berapi Taal.

Kementerian Luar dalam kenyataannya hari ini berkata semua pelajar Malaysia dipindahkan ke Manila mulai semalam.

“Semua pelajar dipindahkan berikutan keadaan yang semakin kritikal termasuk pengisytiharan cuti kecemasan yang diumumkan Pejabat Presiden Filipina,” jelas kenyataan itu.

Rakyat Malaysia juga dinasihat menangguhkan perjalanan ke Filipina.

Bagi warga Malaysia yang berada di Filipina dan memerlukan bantuan mereka boleh menghubungi Kedutaan Malaysia di Manila.

Sementara itu, Bernama yang memetik agensi berita Vietnam (VNA) melaporkan, Gunung berapi Taal yang terletak 90 kilometer ke selatan Manila terus menghamburkan lahar dan abu ke udara, memaksa penduduk kampung melarikan diri.

Lapangan terbang antarabangsa, pejabat dan sekolah ditutup.

Abu panas memenuhi ruang udara sehingga lebih 100 kilometer dan menyebabkan ibu kota Manila terjejas.

Lebih 24,000 orang dipindahkan dari kawasan gunung berapi yang popular sebagai destinasi pelancongan  di negara itu.


Pengarang :