Sistem video bantuan pengadil (VAR) dalam bola sepak moden bertujuan membantu pegawai pengadilan mengurangkan kesilapan ketika mengadili perlawanan berstatus tinggi. Foto FIFA
AGENDASUKANKINI

Liga M belum sedia guna VAR faktor kos tinggi

SHAH ALAM 15 JAN: Liga Bolasepak Malaysia (MFL) mengakui Liga Malaysia (Liga M) masih belum bersedia menggunakan sistem pengadil bantuan video (VAR).

Presiden MFL, Datuk Hamidin Mohd Amin menjelaskan antara faktor utama menjadi penghalang penggunaan sistem itu adalah kos  terlalu tinggi, lapor BH ONLINE.

Namun, beliau tidak menolak kemungkinan hasrat peminat bola sepak untuk melihat VAR digunakan dalam Liga M boleh menjadi kenyataan pada masa akan datang.

“Saya fikir VAR belum dapat dilaksanakan sebab kos, jadi dalam keadaan sekarang tidak mungkin (ia akan digunakan).

“Tapi bila MFL sudah mencapai satu tahap yang lain dari segi kewangan, kita akan gunakan VAR, tapi bukan sekarang,” katanya pada sidang media selepas Majlis Pelancaran Liga M 2020 di sini, hari ini.

Sebelum ini, Persatuan Bolasepak Malaysia (FAM) berhasrat menggunakan VAR pada musim 2018 namun ia terpaksa ditangguhkan atas faktor kos terlalu tinggi.

Malah, beberapa individu termasuk jurulatih dan pemain sebelum ini juga ada mencadangkan Liga M perlu menggunakan VAR bagi mendapatkan keputusan lebih tepat membabitkan situasi tertentu dalam perlawanan.


Pengarang :