Foto Sumber: Fifa
AGENDASUKANKINI

Liga-M: MFL perkenal DTMS ganti SPN musim 2020

KUALA LUMPUR, 17 JAN: Liga Bola Sepak Malaysia (MFL) memperkenalkan sistem perpindahan pemain ‘Domestic Transfer Matching System’ (DTMS) menggantikan Sijil Perpindahan Negeri (SPN) bermula saingan Liga Malaysia (Liga-M) musim 2020.

Pemangku Ketua Pegawai Eksekutif MFL, Datuk Ab Ghani Hassan optimis pengenalan DTMS, yang turut mendapat kerjasama Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM), akan melancarkan proses pendaftaran pemain pasukan.

Menurutnya, DTMS akan memastikan proses perpindahan pemain menjadi lebih telus selain menjadikan setiap perpindahan lebih teratur.

“Justeru, saya percaya penambahbaikan ini akan menjadi satu perkhabaran gembira bukan sahaja kepada pasukan tetapi juga kepada penyokong bola sepak tempatan,” katanya, dalam kenyataan.

Sistem SPN sebelum ini digunakan secara manual bagi proses pendaftaran pemain tempatan dan pemain import yang sedia ada di Liga-M.

Pemain import yang kali pertama berhijrah ke Liga-M akan menggunakan International Transfer Matching System (ITMS) untuk mendapatkan sijil perpindahan antarabangsa (ITC).

Pada masa sama, MFL mengumumkan jendela perpindahan kedua pemain Liga-M dibuka bermula 15 Jun hingga 12 Julai.

Ab Ghani berkata tempoh tersebut memberi ruang yang cukup kepada pasukan melakukan persiapan bagi mengharungi saingan Piala Malaysia dan Piala Cabaran.

Jendela perpindahan pertama telah dibuka secara rasmi semalam sehingga 15 Mac.

Liga-M akan membuka tirai dengan pertembungan Johor Darul Ta’zim (JDT) berdepan Kedah dalam aksi Piala Sumbangsih yang dijadual berlangsung di Stadium Sultan Ibrahim, Larkin, Johor, pada 28 Februari ini.

– BERNAMA


Pengarang :