AGENDASUKANKINI

LTdl: Saingan sengit tiga pasukan Itali

KUALA LUMPUR, 28 JAN: Tiga pasukan berstatus Pro Continental dari Itali dijangka mempamerkan perlumbaan yang sengit pada edisi ke-25 Petronas Le Tour de Langkawi (LTdL) bermula 6 hingga 15 Februari.

Ini kerana ketiga-tiga pasukan itu – Androni Giocatolli-Sidermec, Bardiani CSF Faizane dan Vini Zabu KTM (sebelum ini dikenali sebagai Neri Sottoli-Selle Italia) – mendapat slot wildcard untuk bersaing dalam perlumbaan Grand Tour, Giro d’Italia 2020 dijadual pada 9 hingga 31 Mei.

Bagaimanapun, kemasukan wildcard itu secara bersyarat iaitu setiap pasukan mesti berjaya meyakinkan penganjur bahawa mereka memiliki kehebatan dan keupayaan untuk berlumba dengan pasukan World Tour di Giro, termasuk penilaian pada perlumbaan UCI ProSeries, LTdL 2020.

“Dengan slot wildcard Giro yang dipertaruhkan, ketiga-tiga pasukan Itali pasti akan memberikan yang terbaik untuk meyakinkan penganjur Giro dan menjangkakan saingan sengit antara ketiga-tiga pasukan untuk membuktikan kehebatan mereka,” menurut penganjur Human Voyage (M) Sdn Bhd dalam kenyataan.

LTdL 2020 melibatkan lapan peringkat perlumbaan, bermula di Kuching dan berakhir di Langkawi, selain dua perlumbaan tambahan, Kota Kinabalu International Criterion pada 6 Feb dan Perlumbaan Klasik Antarabangsa Malaysia di Langkawi pada 15 Feb.

-BERNAMA


Pengarang :