AGENSISELANGOR

LZS bantu pemuda hidap barah darah

SHAH ALAM, 26 JAN: Penderitaan seorang pesakit barah darah (Refractor Acute Myeloid Leukemia) mendapat perhatian Lembaga Zakat Selangor (LZS) yang akan menghulurkan bantuan dalam tempoh terdekat.

Agensi itu memaklumkan pihaknya dalam proses menyalurkan sebahagian kos rawatan untuk Mohamad Haikal Naim Mohamad Nizam, 25, yang disahkan menghidap penyakit tersebut sejak September tahun lalu hingga memerlukan RM186,932 untuk pembelian ubat khas.

“Kos anggaran lebih RM186,000 untuk tempoh tiga bulan bagi pembelian ubat tambahan (midosteurin). Ia sesuatu yang amat sukar bagi mereka kerana hanya bergantung harap atas hasil pendapatan ibunya (Nora Mat Sidi) yang bekerja sebagai pemandu van sekolah untuk menanggung rawatan anaknya.

“Tambahan pula, dia mempunyai komitmen membiayai pengajian seorang lagi anak yang sedang menuntut di Universiti Teknologi Mara (UiTM) Arau, Perlis,” kata LZS menerusi hantaran di Facebook.

Sementara itu, Nora, 50, yang juga ibu tunggal ketika dihubungi berkata anaknya sebelum ini melanjutkan pengajian di UiTM Puncak Alam di sini sebelum mengambil keputusan berhenti kerana mahu menggalas tanggungjawab mencari rezeki untuk keluarga.

Katanya, Haikal mendapat tawaran bekerja di salah sebuah syarikat perkapalan secara kontrak sebelum disahkan menghidap penyakit berkenaan selepas 10 bulan dalam perkhidmatan.

Orang ramai yang mahu membuat sumbangan boleh menyalurkan ke akaun Maybank Mohamad Haikal Naim Mohamad Nizam (164100292437).


Pengarang :