AGENSISELANGOR

LZS peruntuk RM32.9 juta beli kelengkapan sekolah keluarga kurang mampu

SHAH ALAM, 2 JAN: Lembaga Zakat Selangor (LZS) memperuntukkan RM32.9 juta kepada 30,718 keluarga asnaf fakir dan miskin sebagai persiapan memulakan sesi persekolahan pada tahun ini.

Agensi itu dalam kenyataan memaklumkan, peruntukan itu diagihkan dalam bentuk baucar dan membabitkan 65,956 pelajar prasekolah sehingga sekolah menengah.

“Bagi murid sekolah rendah kebangsaan setiap murid menerima sumbangan RM170, RM150 buat setiap murid sekolah rendah agama dan RM200 bagi setiap pelajar sekolah menengah kebangsaan.

“Pelajar ini turut menerima bantuan yuran persekolahan RM100 bagi peringkat prasekolah, RM150 bagi sekolah rendah kebangsaan dan sekolah agama serta RM250 kepada pelajar sekolah menengah kebangsaan juga sekolah menengah agama,” katanya dalam kenyataan.

Kenyataan itu memaklumkan, penerima boleh menebus baucar kelengkapan sekolah itu di enam pasar raya terpilih iaitu Pasar Raya Borong Sakan, Econsave Cash & Carry, Tesco, Canggih, Jakel dan FR Design yang boperasi di Selangor dengan mengemukakan MyKad ketua keluarga.

Katanya, LZS memberi kebebasan kepada keluarga berkenaan memilih kelengkapan sekolah mengikut kualiti yang mereka perlukan.

Terdahulu, tular satu status seorang warganet yang meminta LZS mengambil perhatian berkaitan pakaian sekolah yang dibekalkan oleh sebuah pasar raya yang dikatakan jarang sehingga menampakkan tubuh dan dianggap tidak bersesuaian buat pelajar dan murid.


Pengarang :