Bekas Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak. Foto BERNAMA
AGENDANASIONAL

Mahkamah benar Najib panggil pakar tulisan sahkan tandatangan

KUALA LUMPUR, 22 JAN: Mahkamah Tinggi di sini hari ini membenarkan permohonan bekas Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak untuk memanggil pakar tulisan bagi mengesahkan kesahihan tandatangannya dalam beberapa dokumen berhubung dengan perbicaraannya melibatkan SRC International Sdn Bhd.

Hakim Mohd Nazlan Mohd Ghazali menyatakan bahawa di bawah undang-undang seseorang tertuduh layak mendapatkan dan membawa mana-mana bukti utama mengikut pilihannya dalam pembelaan.

Hakim itu berkata walaupun sekiranya asas permohonan itu sudah lepas atau baru dihasilkan oleh tertuduh ini bukanlah satu alasan sah untuk mengetepikan tertuduh daripada bukti utama dalam pembelaannya.

“Namun, pemberat patut diberikan kepada bukti pakar ini sekira ia dikemukakan termasuk mengenai sama ada kredibiliti bukti tertuduh terjejas selepas ini, adalah menjadi hak mahkamah untuk menentukannya pada akhir kes ini,” katanya.

Hakim Mohd Nazlan berkata, nilai keterangan terhadap bukti yang dihasratkan itu menjadi isu yang perlu ditentukan pada akhir kes ini.

Beliau berkata, bagi memastikan penilaian terhadap bahan bukti tidak akan menjejaskan prosiding kes ini pihak pembelaan hendaklah menyusun bagi penilaian oleh pakar dilakukan pada minggu hadapan, bagi satu tempoh tidak lebih dua hari sebelum perbicaraan disambung, selepas esok, pada 3 Februari 2020.

Beliau berkata, tempatnya akan dilakukan dalam bangunan mahkamah ini yang akan diberitahu lebih lanjut oleh Timbalan Pendaftar dan dengan kehadiran para wakil pendakwaan, pembelaan dan mahkamah.

Hakim Mohd Nazlan juga membenarkan pendakwaan memanggil seorang saksi penyangkalan seperti diperuntukkan di bawah Seksyen 425 Kanun Tatacara Jenayah sekiranya mereka berhasrat berbuat demikian.

Pada Isnin, Timbalan Pendakwa Raya Datuk V. Sithambaram berhujah bahawa mahkamah hendaklah menolak permohonan bekas Perdana Menteri itu kerana ia jelas menunjukkan bahawa ia adalah satu pandangan yang selepas dan satu muslihat untuk melewatkan prosiding.

Pada 9 Disember ketua peguam Najib, Muhammad Shafee memberitahu mahkamah bahawa pasukan pembelaan akan memanggil seorang pakar tulisan dari Australia untuk mengkaji kesahihan beberapa dokumen yang terdapat tandatangan Najib yang telah dikemukakan ke mahkamah.

Pada tahun lepas Mahkamah Tinggi memerintah Najib, 67, agar membela diri atas tujuh pertuduhan penyelewengan RM42 juta melibatkan dana SRC International Sdn Bhd, termasuk tiga kes pecah amanah (CBT), tiga kes pengubahan wang haram dan satu kes menyalahguna kuasa dalam dana SRC.

-BERNAMA


Pengarang :