SELANGOR

Mahkamah Sepang dinaik taraf April depan

SEPANG, 21 JAN: Kompleks Mahkamah Sepang di sini akan dinaik taraf April hadapan melibatkan peruntukan kira-kira RM825,000 bagi meningkatkan tahap kecekapan penyampaian perkhidmatan dan keselamatan, kata Timbalan Menteri di Jabatan Perdana Menteri Mohamed Hanipa Maidin.

Selain keseluruhan bangunan dicat, projek itu juga akan melibatkan pembesaran ruang Mahkamah Majistret yang ketika ini agak kecil, katanya.

“Keadaan itu menyebabkan majistret terpaksa berkongsi laluan dengan orang awam semasa hendak menuju ke biliknya, ini perlu diberi perhatian segera kerana melibatkan soal keselamatan,” katanya kepada pemberita selepas melawat Kompleks Mahkamah Sepang itu, hari ini.

Projek itu sebahagian daripada projek menaiktaraf dan pemuliharaan 120 bangunan mahkamah di seluruh negara melalui peruntukan RM120 juta yang diumumkan kerajaan pada akhir tahun lepas.

Dalam pada itu, Mohamed Hanipa berkata, semua kes mahkamah melibatkan pendatang asing tanpa izin (PATI) yang sebelum ini dikendalikan di Mahkamah Sepang, kini dijalankan di mahkamah khas kes PATI di Semenyih, Selangor sejak awal tahun ini.

“Diharap ia dapat mempercepatkan pelupusan kes membabitkan tangkapan warga asing oleh pihak berkuasa,” katanya, sambil menambah berdasarkan rekod, kes melibatkan PATI di Selangor merekodkan pendaftaran sebanyak 1,000 kes sebulan.

Kenyataan Pejabat Ketua Pendaftar Mahkamah Persekutuan sebelum ini menyatakan penubuhan Mahkamah Khas PATI Semenyih bagi mengendalikan kes PATI adalah selaras dengan Akta Imigresen 1959 yang bertujuan mempercepatkan pelupusan kes membabitkan tangkapan warga asing oleh pihak imigresen.

-BERNAMA


Pengarang :