Wan Saiful Wan Jan. Foto BERNAMA
AGENDABERITA UTAMANASIONAL

Majikan dapat pelepasan cukai bantu bayar PTPTN pekerja

KUALA LUMPUR, 7 JAN: Perbadanan Tabung Pendidikan Tinggi Nasional (PTPTN) menerima RM383,285.91 daripada 15 majikan yang mengambil peluang membantu pekerja masing-masing membayar tunggakan pinjaman PTPTN tahun lalu.

Pengerusi PTPTN Wan Saiful Wan Jan berkata jumlah itu memanfaatkan 30 peminjam PTPTN, malah majikan berkenaan diberikan insentif pelepasan cukai oleh kerajaan.

“Ini satu insentif yang perlu diambil faedahnya oleh majikan pada tahun ini kerana pelepasan cukai bukan perkara mudah untuk diperoleh.

“Bahkan, berita baik untuk majikan kerana insentif ini masih terus diberikan sehingga 2021,” katanya kepada Bernama selepas menjadi tetamu dalam program Ruang Bicara terbitan Bernama TV, malam tadi.

Insentif pelepasan cukai untuk majikan yang membayar pinjaman PTPTN pekerja diperkenalkan kerajaan melalui pembentangan Belanjawan 2019.

Justeru, Wan Saiful menyarankan setiap majikan merebut peluang itu bagi membantu kakitangan mereka dalam menyelesaikan pinjaman pendidikan dan pada masa sama mendapat pelepasan taksiran cukai bagi jumlah yang dijelaskan.

“Kita dapati ada anak muda memang betul-betul tidak mampu membayar (pinjaman PTPTN) dan kita mahu menggalakkan supaya pinjaman ini (dari segi penyelesaiannya) dikongsikan juga oleh majikan yang mungkin mencatat keuntungan dalam perniagaan mereka.

“Jadi langkah baiknya jika sedikit keuntungan itu dapat digunakan untuk membantu mengurangkan bebanan sara hidup anak-anak muda ini,” katanya.

-BERNAMA


Pengarang :