Persembahan kumpulan nasyid Hijjaz pada Majlis Perasmian Tilawah dan Menghafaz all-Quran Peringkat Negeri Selangor Tahun 1441H/2020M di Dewan Syarahan dan Muzakarah Islam Shah Alam, Masjid Sultan Salahuddin Abdul Aziz Shah pada 14 Januari 2020. Foto FILZAH YAMAL/SELANGORKINI
AGENDANASIONAL

Majlis tilawah Selangor pilih tema erat perpaduan

SHAH ALAM, 15 JAN: Dato’ Menteri Besar menyeru penduduk berbilang kaum dan latar belakang di negeri ini mengamalkan sikap saling menghormati, belas ihsan sesama makhluk bagi membentuk perpaduan negara rahmah.

Dato’ Seri Amirudin Shari berkata bagi mencapai perpaduan itu, majlis tilawah dan menghafaz al-Quran peringkat Selangor tahun ini memilih tema ‘Negara Rahmah, Ummah Sejahtera’.

“Tema tersebut selaras dengan hasrat Kerajaan Negeri mahu menyemarakkan semangat toleransi, hormat-menghormati dan saling bekerjasama sesama ummah,” katanya ketika berucap merasmikan Majlis Tilawah dan Menghafaz al-Quran Peringkat Negeri Selangor Tahun 1441/2020M di Masjid Sultan Salahuddin Abdul Aziz Shah di sini malam tadi.

Beliau berkata, penganjuran majlis itu diyakini dapat membantu meningkatkan kecintaan sesama masyarakat Islam sekali gus memberi peluang kepada mereka mengenali mukjizat al-Quran.

“Ia juga tunjang utama bagi membentuk perpaduan dan menjaga keharmonian ikatan persaudaraan dalam kalangan kita yang terdiri daripada pelbagai kaum,” katanya.

“Besar harapan saya agar majlis yang diadakan ini dapat memberi ruang dan peluang kepada umat Islam untuk sama-sama berfikir dan bermuhasabah dalam mengerat ikatan persaudaraan demi kebaikan umat Islam di negeri yang sangat bertuah ini,” katanya.


Pengarang :