AGENDANASIONAL

Malaysia tidak bergantung kepada satu negara tarik pelancong

SHAH ALAM, 30 JAN: Malaysia tidak bergantung kepada satu negara sahaja untuk menarik kemasukan pengunjung bagi mencapai sasaran 30 juta, kata menteri pelancongan.

Mengambil contoh tahun lalu, Datuk Mohammadin Ketapi berkata pelancong dari Singapura mencatatkan kemasukan paling ramai, bukan dari China, lapor Berita Harian.

“Bukan sahaja Malaysia, sebaliknya semua negara tidak bergantung kepada satu negara sahaja,” katanya pada sidang media selepas merasmikan majlis bersama usahawan sempena Festival Kraf di Dataran Muhammadi di Kota Bharu hari ini.

Sementara itu, beliau berkata masih terlalu awal untuk kerajaan mengukur prestasi kemasukan pelancong ke Malaysia susulan penularan wabak koronavirus 2019 (2019-nCoV).

Mohammadin berkata ia berikutan penularan virus berkenaan berlaku dalam tempoh kurang dari setengah bulan.

“Kalau kita melihat jangkitan 2019-nCoV yang menular, sebetulnya bukan Malaysia sahaja sebaliknya ia masalah dunia. Negara lain pun sama sahaja. Jadi, terlalu awal untuk kata industri pelancongan terjejas kerana virus itu tidak sampai setengah bulan berlaku,” katanya.


Pengarang :