Ahli Parlimen Petaling Jaya, Maria Chin Abdullah berucap pada perasmian unit rehabilitasi Bilik Lavender di Klinik Kesihatan Taman Medan, Petaling Jaya pada 9 Januari 2020. Foto REMY ARIFIN/SELANGORKINI
AGENDANASIONAL

Maria Chin komited tambah baik prasarana di PJ

PETALING JAYA, 9 JAN: Ahli Parlimen Petaling Jaya komited untuk menambah baik infrastruktur di kawasan parlimennya tahun ini khususnya membabitkan institusi pengajian seperti sekolah dan tadika.

Maria Chin Abdullah berkata, cadangan bagi perkara itu akan menjadi keadaan seperti beberapa sekolah daif di sini lebih baik supaya dapat memberi keselesaan kepada pelajar.

“Buat masa ini belum ada senarai khusus kerana kita belum menerima sebarang peruntukan dan kertas cadangan daripada mana-mana institusi sekolah dan tadika.

“Namun, selepas dana diterima kita akan buat kajian institusi mana yang memerlukan penambahbaikan sewajarnya,” katanya.

Beliau berkata demikian kepada SelangorKini selepas merasmikan Unit Rehabilitasi Bilik Lavender, Klinik Kesihatan Taman Medan di sini, hari ini.

Pada masa sama, Maria Chin berkata, pihaknya juga menyasarkan untuk melengkapkan beberapa fasiliti di klinik kesihatan sekitar Petaling Jaya yang mampu memanfaatkan penduduk terutama golongan isi rumah berpendapatan rendah (B40) untuk mendapatkan rawatan.

“Selain itu, saya berharap kerajaan Persekutuan boleh membina satu hospital di Petaling Jaya pada masa akan datang.

“Hal ini kerana kurangnya hospital di sini dan jika ada pun PPUM (Pusat Perubatan Universiti Malaya) yang bukan sepenuhnya kerajaan dan agak menyukarkan golongan B40,” katanya.


Pengarang :