Masjid Putra dibuka semula hari ini. Foto BERNAMA
AGAMAAGENDANASIONAL

Masjid Putra dibuka semula lawatan pelancong asing

PUTRAJAYA, 29 JAN: Masjid Putra di sini yang ditutup kepada lawatan pelancong asing sejak Ahad lepas berikutan kebimbangan terhadap jangkitan koronavirus 2019, dibuka semula pada kira-kira 2 petang tadi.

Jurucakap pengurusan masjid itu berkata petugas masjid mengamalkan garis panduan dikeluarkan Kementerian Kesihatan sebagai langkah keselamatan.

“Sebelum ini, Masjid Putra ditutup kepada lawatan berikutan ada kebimbangan terhadap keselamatan petugas masjid memandangkan kita menerima ramai pengunjung asing setiap hari.

“Bermula hari ini, petugas akan ikut nasihat Kementerian Kesihatan seperti memakai penutup hidung dan mulut serta menggunakan pembersih tangan (hand sanitizer),” katanya ketika dihubungi Bernama.

Sebelum ini, beberapa masjid yang menjadi tumpuan pelancong seperti Masjid Putra dan Masjid Tuanku Mizan Zainal Abidin di sini, serta Masjid Wilayah Persekutuan di Kuala Lumpur dilaporkan ditutup kepada lawatan pelancong asing berikutan kebimbangan terhadap koronavirus 2019.

Bagaimanapun, Perdana Menteri Tun Dr Mahathir Mohamad hari ini dilaporkan kesal dengan larangan itu dan menyatakan ia bukanlah dasar kerajaan.

-BERNAMA


Pengarang :