Lee Zii Jia. Foto BERNAMA
AGENDASUKANKINI

Masters Thailand: Zii Jia mara ke pusingan kedua

SHAH ALAM, 23 JAN: Pemain perseorangan badminton lelaki negara Lee Zii Jia memadan mimpi ngeri Masters Indonesia apabila melangkah ke pusingan kedua di Masters Thailand selepas menewaskan pemain India, Sameer Verma, semalam.

Beliau bangkit daripada kegagalan minggu lalu apabila menang 21-16 dan 21-15 ke atas Sameer sekali gus melebarkan rekod pertemuan 4-1 memihak Zii Jia.

Pemain berusia 21 tahun itu bakal bertemu pemain Korea Selatan Heo Kwang Hee di pusingan kedua, lapor Berita Harian.

Untuk rekod, beliau yang berada di ranking ke-13 dunia dan pilihan ketujuh kejohanan tidak pernah menentang Kwang Hee sebelum ini.

Sementara itu, perseorangan profesional negara, Liew Daren terpaksa bekerja keras dalam tiga set sebelum berjaya menewaskan H S Prannoy dari India 21-17, 20-22 dan 21-19 selepas satu jam lapan minit.

Daren bakal bertemu pilihan kedua kejohanan dari China, Shi Yu Qi selepas ini.

Turut mara ke pusingan kedua beregu campuran negara, Tan Kian Meng-Lai Pei Jing yang bakal menentang beregu Indonesia, Dejan Ferdinansyah-Serena Kani.


Pengarang :