AGENSIBERITA UTAMASELANGOR

Masyarakat digesa hindari fitnah, politik keji – MB

SHAH ALAM, 12 JAN: Masyarakat negara ini perlu menghindari budaya fitnah, bermain politik kotor dan keji, kata Dato’ Menteri Besar.

Sebaliknya, Dato’ Seri Amirudin Shari berkata rakyat wajar kekal meneruskan istiqamah untuk bekerjasama dan berusaha memakmurkan negara.

“Marilah kita berdoa agar negara dan masyarakat kita terhindar daripada bencana sedemikian,” tulisnya menerusi hantaran di Twitter hari ini.

Menteri Hal Ehwal Ekonomi, Dato’ Seri Mohamed Azmin Ali (tiga, kiri), Dato’ Menteri Besar Selangor, Dato’ Seri Amirudin Shari (empat, kiri) membaca yassin ketika Majlis Kesyukuran Tausiah dan Doa Selamat di Masjid Jamek Al-Amaniah, Batu Caves pada 11 Januari 2020. Foto HAFIZ OTHMAN/SELANGORKINI

Malam tadi,  Amirudin menghadiri Majlis Kesyukuran, Tausiah dan Doa Selamat di Masjid Jamek Al Amaniah, Gombak.

Majlis anjuran Menteri Hal Ehwal Ekonomi, Dato’ Seri Mohamed Azmin Ali dihadiri hampir 1,000 jemaah termasuk dari luar Gombak.

Sementara itu, Imam Besar Masjid Sultan Salahuddin Abdul Aziz Shah Muhammad Farhan Wijaya dalam ucapan ringkasnya berpesan supaya jemaah sentiasa memperkukuhkan diri bagi mendepani cabaran masa depan.

“Oleh itu, dapatlah kita membangunkan negara menjadi maju selaras dengan wawasan ummah, mudah-mudahan ia diberkati dan diberi keampunan,” katanya.

Pada 9 Januari lalu, peguam negara berkata tiada pendakwaan dibuat terhadap mana-mana pihak dalam siasatan kes video seks yang dikaitkan dengan seorang menteri.

Tan Sri Tommy Thomas berkata timbalan pendakwa raya memutuskan demikian sebulat suara berikutan laporan analisis yang diterima polis mengesahkan pengenalan identiti dalam klip video itu tidak boleh dibuat secara pasti.


Pengarang :