Sebahagian pelancong yang dipercayai rakyat dari China menggunakan topeng penutup mulut dan hidung bagi mencegah jangkitan koronavirus 2019 (2019-nCoV) ketika tinjauan di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) dan klia2. Foto BERNAMA
AGENDABERITA UTAMANASIONAL

Matta komited bantu kerajaan kekang koronavirus

KUALA LUMPUR, 30 JAN: Persatuan Ejen-ejen Pelancongan dan Pengembaraan Malaysia (Matta) komited menyokong usaha kerajaan mengekang penularan koronavirus 2019 serta mencari langkah pencegahan untuk mengurangkan kerugian yang dialami industri pelancongan, kata presidennya.

Datuk Tan Kok Liang berkata dalam beberapa mesyuarat yang diadakan, Matta mengadakan perbincangan dengan Kementerian Pelancongan, Seni dan Budaya serta Kementerian Kesihatan berhubung cabaran dihadapi industri dan langkah untuk membantu industri pelancongan negara menghadapi cabaran ini.

Katanya, Matta mencadangkan langkah pencegahan masa hadapan termasuk persiapan mempromosikan Malaysia sebaik sahaja pelancong China selamat untuk mengembara dan memanfaatkan kuasa data raya melaksanakan strategi pintar yang boleh digunakan serta-merta bagi memastikan industri terus kukuh.

“Kami memuji tindakan tegas kerajaan China dalam mengekang wabak menerusi larangan perjalanan. Kami juga menyokong penuh usaha kerajaan Malaysia dalam mengawal ancaman dan langkah yang dilaksanakan.

“Jumlah pelancong China yang mengunjungi negara lain, termasuk Malaysia semakin berkurangan dan mereka yang masuk ke China, namun untuk tempat-tempat lain di seluruh dunia termasuk rantau ini seperti biasa,” katanya dalam kenyataan itu.

Kok Liang berkata industri pelancongan pasti terjejas susulan kurangnya bilangan pelancong dari China, yang merupakan pasaran luar negara terbesar di dunia tetapi Malaysia terbukti mudah pulih seperti ketika berhadapan wabak Sindrom Pernafasan Akut Teruk (SARS) pada 2003 dan Sindrom Pernafasan Virus Korona Asia Barat (MERS) pada 2012.

Sementara itu, Matta juga menggesa hotel, syarikat penerbangan, pengendali pelancongan dan penyedia perkhidmatan lain supaya lebih fleksibel terhadap polisi pembatalan.

Kenyataan itu juga menyebut, Matta kini bekerjasama rapat dengan pihak berkuasa tempatan bagi memastikan keselamatan pelancong serta pengendali pelancongan, yang penting kerana nyawa manusia menjadi keutamaan.

Ia juga menyatakan hotel tempatan dan pengendali bas pelancongan perlu meningkatkan tahap kebersihan dan pemandu pelancong pula perlu sentiasa berwaspada jika terdapat simptom penyakit itu.

“Kita juga perlu melayani pelancong China yang kini berada di negara ini dengan baik dan membantu mereka setakat yang mampu.

“Mereka adalah tetamu kita dan layanan yang kita beri akan mengukuhkan imej Malaysia sebagai rakan kongsi pelancongan jangka masa panjang yang boleh dipercayai bukan sahaja kepada warga China tetapi juga kepada negara-negara lain di seluruh dunia,” kata Setiausaha Agung Kehormat Matta Nigel Wong.

Matta bagaimanapun yakin terhadap persediaan dan kesediaan kerajaan Malaysia dalam menangani krisis ini dan mengulangi bahawa Malaysia selamat untuk pelancong.

-BERNAMA


Pengarang :