NASIONALPELANCONGAN

MATTA tingkat promosi ekopelancongan tarik warga China

KUALA LUMPUR, 19 JAN: Pelancong China ke Malaysia kini cenderung ke arah sektor ekopelancongan untuk menikmati keindahan alam semula jadi berbanding menjadikannya sebagai destinasi membeli belah.

Presiden Persatuan Ejen-Ejen Pelancongan dan Pengembaraan Malaysia (MATTA) Datuk Tan Kok Liang berkata berikutan itu pihaknya membanyakkan promosi ekopelancongan bagi menarik kehadiran lebih ramai pelancong dari negara itu.

Katanya ia juga selaras langkah kerajaan mengecualikan visa selama 15 hari kepada pelancong dari China dan India, yang dilaksanakan selama setahun bermula awal tahun ini.

“Sekarang trend pelancong dari China mereka suka aktiviti lasak di kawasan luar bandar seperti menyelam, pemandangan, ‘street food’ serta tingggal di kampung khususnya mereka yang suka buat video,” katanya.

Tan berkata MATTA sentiasa bekerjasama dengan Kementerian Pelancongan, Seni dan Budaya dalam menarik kehadiran pelancong asing.

Beliau optimis sasaran kementerian itu untuk menarik kehadiran empat juta pelancong dari China ke Malaysia tahun ini berbanding lebih 3.2 juta tahun lepas.

– BERNAMA


Pengarang :