Bacaan Ikrar Perkhidmatan Awam pada Majlis Perhimpunan Agensi Agama Islam Selangor Auditorium, Dewan Syarahan dan Muzakarah Masjid Sultan Salahuddin Abdul Aziz Shah, Shah Alam. 28 Januari 2020. Foto REMY ARIFIN/SELANGORKINI
AGENSISELANGOR

MB: Agensi agama perlu peka jelas isu tular di laman sosial

SHAH ALAM, 28 JAN: Agensi berkaitan agama Islam perlu lebih cekap memberikan maklum balas seiring dengan perkembangan teknologi semasa khususnya mendepani penularan berita palsu, kata Dato’ Seri Amirudin Shari.

Dato’ Menteri Besar berkata budaya media sosial kini menuntut semua untuk mendalami ilmu pengetahuan supaya penjelasan sesuatu isu dapat disampaikan segera.

“Saya tidak mahu jabatan berkaitan agama Islam tertinggal apabila Selangor sepenuhnya menjadi negeri pintar menjelang 2025. Persediaan itu perlu bermula dengan perubahan pemikiran dan kehidupan yang sebenarnya kita sudah lalui sebelum ini.

“Sekarang kita berinteraksi dan bertransaksi kebanyakkannya dengan jari, bukan ke komputer tetapi telefon. Itulah sebenarnya pergerakan bandar dan negeri kita sekarang. Saya harap agensi ini juga bersedia untuk bertukar ke arah kerajaan pintar,” katanya.

Antara agensi berkaitan agama Islam di negeri ini adalah Jabatan Agama Islam Selangor (Jais), Majlis Agama Islam Selangor (Mais), Jabatan Kehakiman Syariah Selangor (Jakess) dan Lembaga Zakat Selangor (LZS).

Berucap pada Majlis Perhimpunan Agensi Agama Islam Selangor bersama Dato’ Menteri Besar di Dewan Syarahan dan Muzakarah Islam Shah Alam, Amirudin menjelaskan peranan institusi agama sebenarnya melangkaui peraturan dan cara kerja kerana mempunyai kaitan langsung dengan Islam.

“Kita harus bersedia untuk menilai kembali diri adakah kita benar-benar mencerminkan kualiti yang baik seperti terkandung dalam semangat al-Quran, iman dan amal,” katanya.


Pengarang :