Dato’ Menteri Besar Selangor, Dato’ Seri Amirudin Shari bersama Ketua Pegawai Eksekutif Yayasan Selangor, Eddie Ahmad Khodzali ketika sesi soal jawab sempena Program Santai Bersama Pengerusi Yayasan Selangor di Menara Yayasan Selangor, Petaling Jaya pada 15 Januari 2020. Foto HAFIZ OTHMAN/SELANGORKINI
AGENSISELANGOR

MB: Bangun aset kukuhkan kewangan Yayasan Selangor

PETALING JAYA, 15 JAN: Yayasan Selangor akan membangunkan semula semua aset miliknya bagi mengukuhkan kedudukan kewangan, kata Dato’ Menteri Besar.

Dato’ Seri Amirudin Shari berkata banyak aset milik yayasan itu berada di kawasan strategik yang mempunyai nilai komersial tinggi.

“Aset yayasan di Bukit Bintang, Kampung Pandan dan beberapa kawasan lain adalah banyak dan perlu dibangunkan.

“Namun mungkin sebelum ini berlaku sedikit kecuaian atau kurang kawalan, kita terlepas pandang berhubung beberapa perkara,” katanya.

Beliau berucap pada Program Santai Bersama Warga Yayasan Selangor di sini, hari ini.

Sementara itu, Ketua Pegawai Eksekutif Yayasan Selangor, Eddie Adrianto Ahmad Khodzali berkata barisan kepemimpinan dan kakitangan perlu bekerjasama untuk mengembalikan kekuatan yayasan itu.

“Sempena sambutan 50 tahun penubuhan yayasan, saya minta semua kakitangan yakin dengan kemampuan masing-masing dan saya lihat potensi itu ada dalam diri anda semua,” katanya.


Pengarang :