BERITA UTAMASELANGOR

MB: Bekalan vaksin Influenza A cukup

GOMBAK 14 JAN: Bekalan vaksin Influenza A di hospital dan klinik kerajaan serta swasta di negeri ini adalah mencukupi, kata Dato’ Menteri Besar.

Dato’ Seri Amirudin Shari berkata beliau sendiri sudah menghubungi Menteri Kesihatan Datuk Seri Dr Dzulkefly Ahmad berhubung perkara itu dan Kementerian Kesihatan memberi jaminan bekalan vaksin Influenza A adalah mencukupi.

“Sebelum ini klinik swasta ada kehabisan bekalan vaksin, tetapi saya dimaklumkan oleh menteri kesihatan bahawa bekalan sebenarnya cukup, tetapi berlaku pembelian panik.

“Mungkin masyarakat terperanjat, jadi ramai ambil vaksin. Kita jangka bekalan vaksin akan kembali stabil pada minggu ini,” katanya ditemui pemberita selepas menghadiri Majlis Perasmian Perpustakaan Awam Selangor (PPAS) Gombak di sini, hari ini.

Amirudin berkata beliau sudah mengarahkan Exco Kesihatan, Kebajikan, Pemberdayaan Wanita dan Keluarga, Dr Siti Mariah Mahmud untuk memantau perkembangan Influenza A dari semasa ke semasa.

“Jika ada perkembangan kurang baik berhubung penularan virus ini atau berkaitan vaksin, kita akan ambil tindakan sewajarnya.

“Namun, isu membabitkan penularan virus ini membuka mata masyarakat betapa pentingnya vaksin kepada tubuh kita,” katanya.


Pengarang :