AGENSI BERITA UTAMA SELANGOR

MB: Fokus majukan Sekinchan, Sabak Bernam, Sungai Besar

SEKINCHAN, 19 JAN: Kerajaan Negeri menubuhkan jawatankuasa khas bagi membangunkan kawasan Sekinchan dan Sungai Besar, dua kawasan di daerah Sabak Bernam, supaya mampu mengecapi kemajuan.

Dato’ Menteri Besar, Dato’ Seri Amirudin Shari berkata, sebelum ini pembangunan lebih tertumpu di Shah Alam dan Petaling Jaya namun tiga kawasan berkenaan tidak seharusnya dipinggirkan.

“Kita tahu beberapa kawasan seperti Sekinchan dan pekan Sabak Bernam memerlukan lebih perhatian.

“Mulai tahun ini, Kerajaan Negeri telah mewujudkan satu jawatankuasa membangunkan Sungai Besar dan Sekinchan di dalam daerah Sabak Bernam supaya sama maju seperti daerah lain.

“Kita mahu kawasan ini turut menerima limpahan pembangunan yang dirancang Kerajaan Negeri,” katanya pada Majlis Makan Malam DAP Sekinchan 2020 malam tadi.

Beliau berkata, tahun ini Kerajaan Negeri turut memberikan tumpuan kepada isu keselamatan dengan melatih anggota penguat kuasa bagi memastikan keamanan terus terjamin.

Dalam Belanjawan 2020, 180 anggota daripada sembilan pihak berkuasa tempatan (PBT) ymeliputi dua majlis bandaraya, enam majlis perbandaran dan satu majlis daerah terlibat dalam latihan itu.

Sebanyak RM2 juta disediakan PBT berkenaan untuk melaksanakan penaiktarafan Skim Penguat Kuasa kepada Skim Polis Bantuan.


Pengarang :