AGENDANASIONALPILIHAN MINGGUAN

MB fokus tangani isu besar sepanjang 2020

SHAH ALAM, 1 JAN: Kerajaan Negeri akan memberi perhatian terhadap usaha menangani tiga isu besar yang membelenggu rakyat Selangor sempena Tahun Baharu 2020.

Dato’ Menteri Besar, Dato’ Seri Amirudin Shari berkata selepas kejayaan mengatasi isu ekonomi dan sosial, Selangor masih berdepan masalah lain yang harus disepakati bersama demi memacu kemakmuran serta kesejahteraan rakyat.

“Isu seperti perkauman, agama dan alam sekitar (pencemaran) masih melingkari kehidupan rakyat di negeri ini.

“Jadi, kita berharap dengan strategi digariskan dalam Belanjawan 2020, isu ini dapat ditangani demi kesejahteraan rakyat sepanjang tahun ini dan tahun mendatang,” katanya dalam satu rakaman video sempena Tahun Baharu 2020.

Beliau berkata Selangor juga berjaya mengharungi pelbagai cabaran tahun lalu hasil keutuhan dan kecekapan pentadbiran selain muafakat masyarakat berbilang kaum di negeri itu.

“Kita berjaya mencapai sasaran pelaburan yang tinggi sehingga mencecah RM16.4 bilion, sekali gus melangkaui sasaran ditetapkan iaitu sekitar RM10 bilion.

“Malah, beberapa jabatan dan agensi di bawah Kerajaan Negeri berjaya mendapat pengiktirafan yang baik serta menjuarai sebagai negeri anti rasuah pertama di Malaysia.

“Kita juga terus-menerus membantu rakyat dengan mempelbagaikan dan merungkai kembali program Inisiatif Peduli Rakyat demi kesejahteraan serta kemakmuran rakyat bersama,” katanya.

Pada masa sama, Amirudin berkata pihaknya merangka Belanjawan 2020 untuk memastikan Selangor berjaya mencapai status negeri pintar serantau menjelang 2025 dengan menggariskan lima strategi utama.

“Ini termasuk menjana pertumbuhan dan pemberdayaan ekonomi, memacu agenda pendidikan unggul, mewujudkan Selangor yang selamat, sihat dan sejahtera, menjamin kelestarian alam sekitar serta menjuarai kemampanan sosial.

“Strategi ini akan digabungkan dengan lapan asas dan teras Wawasan Kemakmuran Bersama yang dilancarkan Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad tahun lalu.

“Dengan gabungan kekukuhan pentadbiran Kerajaan Negeri dan kelincahan (pentadbiran) Kerajaan Persekutuan, kita yakin segala usaha reformasi akan mencapai kecemerlangan lebih baik serta momentum memberangsangkan,” katanya.


Pengarang :