Dato’ Seri Amirudin Shari memberikan cederahati kepada Ah Lian sempena Tahun Baru Cina di Dun Sungai Tua pada 24 Januari 2020. Foto FILZAH YAMAL/SELANGORKINI
AGENDABERITA UTAMANASIONAL

MB, isteri terus tradisi ziarah Tahun Baharu Cina

SELAYANG, 24 JAN: Dato’ Menteri Besar meneruskan tradisi berkunjung ke rumah beberapa penduduk Tionghua di kawasan Sungai Tua sempena Tahun Baharu Cina. Tradisi berkenaan diamalkan sejak beliau memenangi kerusi itu lebih 10 tahun lalu.

Dato’ Seri Amirudin Shari ditemani isterinya Datin Seri Masdiana Muhamad menyerahkan sumbangan buah limau dan angpau kepada mereka yang menyambut perayaan tersebut esok.

Sebelum kunjungan itu beliau menyerahkan buah limau kepada peniaga dan orang awam di Pasar Pagi Selayang Baru di sini, hari ini.

Dato’ Menteri Besar Amirudin Shari bersama Datin Seri Masdiana Muhamad menyerahkan sumbangan Ang Pau dan limau kepada masyarakat Tiong Hua Dun Sungai Tua di Pasar Pagi Selayang Baru pada 24 Januari 2020. Foto FIKRI YUSOF/SELANGORKINI

“Dalam program ini saya menyerahkan sumbangan berkaitan termasuk kalendar dan angpau kepada mereka sebagai tanda penghargaan untuk meraikan perayaan ini.

“Di kesempatan ini saya mengambil peluang mengucapkan kepada semua rakyat Selangor terutama mereka berketurunan Tionghua, Selamat Tahun Baharu Cina.

“Semoga sambutan ini memberi semangat dan inspirasi baharu kepada kita untuk kemakmuran bersama,” kata Amirudin selepas program tersebut.

Penduduk Miao Jun, 49, berkata dia teruja menerima kunjungan Amirudin ke kediamannya di Kampung Laksamana, Batu Caves.

“Dari pagi lagi saya tunggu Dato’ Menteri Besar datang. Saya sangat gembira dan semoga tradisi ini diteruskan pada masa akan datang,” katanya.

Manakala, Ah Lian, 48, pula memuji sifat ramah Amirudin dan isteri.

“Saya memuji sifat Dato’ Seri  dan isteri yang mesra dengan rakyat tidak kira pelbagai bangsa, terima kasih di atas kesudian menghadiri rumah kami setiap tahun,” katanya.


Pengarang :