Foto FIKRI YUSOF/SELANGORKINI.
AGENDABERITA UTAMANASIONAL

MB: Jangkitan influenza A terkawal, tutup sekolah jika merebak

SHAH ALAM, 10 JAN: Penularan influenza A di Selangor terkawal dengan pemantauan berterusan supaya tidak merebak ke kawasan lain, kata Dato’ Menteri Besar.

Dato’ Seri Amirudin Shari berkata Kerajaan Negeri juga akan memberikan pelepasan cuti sekolah sekiranya jangkitan terus meningkat.

“Kita sedang mendapatkan maklum balas terakhir daripada EXCO Kesihatan, Kebajikan, Pemberdayaan Wanita dan Keluarga (Dr Siti Mariah Mahmud) dan dimaklumkan berhubung kes di Cyberjaya.

“Jika terdapat tanda-tanda serius (penyebaran ke tempat lain), kita mungkin akan ambil keputusan menutup sekolah dan menegah penduduk supaya tidak berada di kawasan yang mudah tersebar,” katanya.

Amirudin ditemui pada Majlis Perasmian Penyerahan Projek Menaik Taraf Jalan B49 Persiaran Mokhtar Dahari di sini hari ini.

Semalam, SelangorKini melaporkan 21 kes influenza A dikesan di lapan sekolah seluruh Selangor sejak 1 Januari, namun tidak membabitkan penutupan sekolah.

Jumlah itu membabitkan 20 pelajar di empat daerah Petaling Utama dan masing-masing satu di Sepang, Kuala Langat, Klang serta Petaling Perdana termasuk seorang guru wanita di Sekolah Kebangsaan Labohan Dagang, Kuala Langat.


Pengarang :