Dato’ Seri Amirudin Shari berucap ketika Program Jamuan Makan Malam DAP Sekinchan Tahun 2020 di Pejabat DAP Sekinchan pada 18 Januari 2020. Foto FIKRI YUSOF/SELANGORKINI
BERITA UTAMA

MB: KDNK Selangor 23.7 peratus penyumbang terbesar negara

SEKINCHAN, 18 JAN: Selangor kekal menjadi penyumbang terbesar keluaran dalam negara kasar (KDNK) negara dengan 23.7 peratus pada tahun lalu, kata Dato’ Seri Amirudin Shari.

Dato’ Menteri Besar berkata kejayaan itu memberi makna besar kerana pada 2018 Kerajaan Negeri turut berjaya merekodkan pelaburan tertinggi RM18.7 bilion dalam tempoh 30 tahun.

“Selangor masih nombor satu dan kekal menyumbang terbesar KDNK pada tahun lepas sebanyak 23.7 peratus. Kejayaan itu tidak cukup kalau masih ada yang tertinggal.

“Pada 2019 juga kita bersungguh-sungguh bawa pelaburan. Saya ucapkan terima kasih kepada Dato’ Teng Chang Khim yang bekerja kuat selaku EXCO pelaburan.

“Hampir setiap bulan beliau ke luar negara bertemu pelabur dan 2018 kita berjaya menarik pelaburan lebih RM18.97 bilion, pencapaian terbaik dalam tempoh 30 tahun,” katanya pada Jamuan Makan DAP Sekinchan 2020.

Beliau berkata segala kejayaan tidak membawa makna jika masih ada rakyat tertinggal dalam arus ekonomi.

Amirudin berkata usaha dilakukan Kerajaan Persekutan dalam pemulihan ekonomi perlu terus disokong rakyat.

“Selangor sendiri pernah melalui proses perubahan sejak 2008 dan kini sokongan rakyat sudah memasuki penggal ketiga.

“Selepas ekonomi pulih saya percaya rakyat khususnya di Selangor akan kekal memilih Pakatan Harapan sebagai peneraju negara,” katanya.


Pengarang :