Dato’ Menteri Besar Selangor, Dato’ Seri Amirudin Shari bersalaman dengan Imam Besar Masjid Sultan Salahuddin Abdul Aziz Shah, Ustaz Muhammad Farhan Wijaya pada Majlis Perhimpunan Agensi Agama Islam Selangor Auditorium, Dewan Syarahan dan Muzakarah Masjid Sultan Salahuddin Abdul Aziz Shah, Shah Alam pada 28 Januari 2020. Foto REMY ARIFIN/SELANGORKINI
BERITA UTAMASELANGOR

MB: Lawatan kerja luar negara diteruskan atas nasihat Wisma Putra

SHAH ALAM, 28 JAN: Kerajaan Negeri tetap meneruskan tugas ke luar negara seperti dijadualkan sebelum ini dengan mendapatkan nasihat daripada Wisma Putra, kata Dato’ Seri Amirudin Shari.

Dato’ Menteri Besar berkata perkara itu sudah menjadi kelaziman sebelum mengadakan lawatan bukan hanya membabitkan penularan jangkitan 2019 Novel coronavirus (2019-nCoV).

“Kita akan teruskan (lawatan) terutama ke kawasan yang kurang berisiko dan akan meneliti semula jika ada tindakan selanjutnya. Lazimnya kita akan rujuk Wisma Putra untuk mendapat maklum balas serta nasihat dari semasa ke semasa.

“Biasanya Wisma Putra mempunyai maklumat terkini bagi sesuatu tempat dan masalah. Saya percaya kita mampu menangani dan berdepan risiko tersebut,” katanya pada sidang media selepas Majlis Perhimpunan Agensi Agama Islam Selangor bersama Dato’ Menteri Besar di Dewan Syarahan dan Muzakarah Islam Shah Alam, hari ini.

Beliau berkata Kerajaan Negeri sentiasa bekerjasama dengan Kementerian Kesihatan bagi mendapatkan maklumat terkini jangkitan memandangkan Selangor merupakan pintu masuk utama negara menerusi Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) 1 dan 2.


Pengarang :