Selangorkini
Dato’ Menteri Besar Selangor, Dato’ Seri Amirudin Shari berucap ketika Majlis Penutup Perkampungan Menara Gading Selangor di Universiti Putra Malaysia, Serdang pada 28 Januari 2020. Foto HAFIZ OTHMAN/SELANGORKINI
EKONOMI SELANGOR

MB: Lonjak pendapatan rakyat melalui pertanian

SERI KEMBANGAN, 28 JAN: Kerajaan Negeri sedang meneliti mekanisme sesuai untuk melonjakkan pendapatan rakyat khususnya miskin bandar menerusi program pertanian, kata Dato’ Seri Amirudin Shari.

Dato’ Menteri Besar berkata projek perintis akan diteliti jika kajian berkenaan mampu dilaksanakan sesuai dengan kos.

“Saya dikunjungi pelabur bagi membincangkan perkara ini untuk kita lihat bagaimana Kerajaan Negeri boleh membantu golongan ini dan akan diumum lebih lanjut jika ia sesuai dilaksanakan,” katanya ketika ditemui media selepas Majlis Perasmian Perkampungan Menara Gading Selangor (PMGS) 2020, di Universiti Putra Malaysia, di sini.

Mengulas seramai 12,281 pelajar di negeri ini didapati tidak meneruskan persekolahan, termasuk atas faktor tiada minat, masalah keluarga, berkahwin, takut ke sekolah dan bekerja, Amirudin berkata Selangor menyediakan beberapa pusat latihan teknikal antaranya Kolej Antarabangsa Inpens.

“Mereka ini bukan tidak mahu bersekolah tetapi disebabkan tiada sokongan sosial,” katanya.

Dalam perasmian program PMGS itu, Amirudin menyarankan mahasiswa lebih dinamik dan tidak menunggu sebaliknya mencipta pekerjaan sebelum tamat pengajian.

Katanya, hal itu kerana cabaran dan peluang pekerjaan terhad masa kini serta pelajar tidak boleh selesa dan perlu berani berhadapan dengan Revolusi Industri 4.0.


Pengarang :