Dato’ Menteri Besar, Dato’ Seri Amirudin Shari. Foto FIKRI YUSOF/SELANGORKINI
SELANGOR

MB: Tunggu siasatan kes Adhif Syan selesai

KUALA LANGAT, 14 JAN: Ahli Dewan Negeri (ADN) Dengkil Adhif Syan Abdullah masih boleh meneruskan tugas sehingga proses siasatan selesai, kata Dato’ Seri Amirudin Shari.

Dato’ Menteri Besar berkata pihaknya senada dengan kenyataan Perdana Menteri Tun Dr Mahathir Mohamad semalam yang menyatakan tiada siapa akan terlepas daripada tindakan undang-undang sekiranya didapati bersalah.

Amirudin berkata pihaknya berpegang kepada prinsip seseorang dianggap tidak bersalah selagi belum diputuskan undang-undang dan beliau berharap siasatan berlangsung dengan teliti.

“Setakat ini, beliau tidak mengaku (bersalah) dan saya beri ruang itu kepada beliau membuktikannya melalui proses undang-undang.

“Kedudukan sebagai ADN setakat ini masih pada tahap itu (boleh meneruskan tugas) dan saya menunggu pandangan daripada rakan kita sebab seperti saya sebut Bersatu sepatutnya menentukan masa depan beliau dan saya serahkan kepada mereka membuat keputusan,” katanya.

Semalam, Dr Mahathir yang juga pengerusi Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) berkata tindakan akan diambil terhadap ahli parti itu jika mereka terbukti bersalah dalam kes jenayah.

“Sesiapa yang langgar undang-undang, tak kira siapa, walaupun jika saya yang langgar undang-undang, saya perlu masuk penjara,” katanya.

Namun, Mahathir berkata parti itu perlu menunggu maklumat penuh sebelum mereka memutuskan bentuk tindakan.


Pengarang :