Foto laman sesawang MBSA
PBTSELANGOR

MBSA sedia 237 tong untuk sisa perabot, barang elektrik lama

SHAH ALAM, 15 JAN: Majlis Bandaraya Shah Alam (MBSA) menyediakan 237 tong ‘Roll On Roll Off’ (RORO) sempena Tahun Baharu Cina bagi memudahkan orang ramai membuang sampah pukal seperti perabot dan barang elektrik lama.

Ketua bahagian korporat dan perhubungan awamnya berkata tong bersaiz tiga tan akan diletakkan di Seksyen 2 hingga Seksyen 36 dan Seksyen U1 hingga Seksyen U20 bermula 14 hingga 24 Januari.

“Perkhidmatan ini memberi kemudahan kepada penduduk melaksanakan gotong-royong secara persendirian di setiap kediaman masing-masing dan memberi didikan kepada warga Shah Alam berhubung pengurusan sampah pukal dengan cara betul,” kata Shahrin Ahmad.

Justeru, beliau berharap penduduk memberikan kerjasama dengan meletakkan sampah pukal di dalam tong disediakan bagi memudahkan kontraktor membuat kutipan dan menjaga kawasan sekitar.

Orang ramai yang ingin mendapatkan maklumat boleh menghubungi Jabatan Pengurusan Sisa Pepejal dan Pembersihan Awam MBSA di talian 03-55105133 sambungan 1643/1316.


Pengarang :