Shukri Mohamad Hamin (tengah) bergambar bersama pemegang taruh yang menerima penghargaan Bandar Rendah Karbon Zon Kuala Kubu Bharu pada 31 Disember lalu. Foto ihsan MDHS
PBTSELANGOR

MDHS rai 44 pemegang taruh zon bandar rendah karbon

SHAH ALAM, 3 JAN: Majlis Daerah Hulu Selangor (MDHS) meraikan 44 pemegang taruh Zon Bandar Rendah Karbon Kuala Kubu Bharu pada majlis minum petang di Templer’s Ballroom, Rawang pada 31 Disember lalu.

Yang Dipertuanya, Shukri Mohamad Hamin berkata penerima daripada jabatan kerajaan, institusi pendidikan, syarikat swasta, premis perniagaan dan badan bukan kerajaan itu masing-masing dianugerah sijil penghargaan.

Katanya majlis sama turut menyaksikan penyampaian Anugerah Inisiatif Hijau 2019 kepada pemaju yang membangunkan Hulu Selangor dengan menerapkan inisiatif hijau dalam perancangan dan pembangunan.

“Dalam usaha MDHS untuk menjadikan Hulu Selangor sebagai bandar rendah karbon, pemegang taruh turut memainkan peranan penting bagi merealisasikan hasrat ini.

“Sebagai bukti, MDHS berjaya menerima pengiktirafan Diamond Recognition dari Malaysia Green Technology Corporation sempena Anugerah Bandar Rendah Karbon 2019 pada Persidangan dan Pameran Produk Greentech dan Eco Antarabangsa Malaysia pada 9 Oktober lalu.

“Menariknya kita satu-satunya pihak berkuasa tempatan berstatus daerah yang memperoleh pengiktirafan ini,” katanya dalam kenyataan.

Shukri berkata MDHS turut menyasarkan untuk mendapat pengiktirafan anugerah tiga ‘Diamond’ pada tahun ini dan yakin ia boleh dicapai jika semua pihak memainkan peranan.

Pada majlis itu, sebanyak enam Anugerah Inisiatif Hijau Pemaju diberi antaranya Inisiatif Penyediaan Lampu Jalan Diod Pemancar Cahaya kepada Setiatiwi Development Sdn Bhd, Inisiatif Penyediaan Sistem Pengumpulan Air Hujan (ARK Development Sdn Bhd) dan Inisiatif Hijau Dalam Rekabentuk Taman Awam (Perbadanan Kemajuan Negeri Selangor).

Manakala Inisiatif Hijau Dalam Rekabentuk Bangunan Industri diterima UMW Corporation Sdn Bhd, Inisiatif Hijau Dalam Pembangunan Perniagaan (Ligamas Sdn Bhd) dan Anugerah Khas Yang Dipertua MDHS Bagi Kemudahan Masyarakat-Masjid (Perodua Sales Sdn Bhd) dengan masing-masing membawa pulang plak serta sijil pengiktirafan.


Pengarang :