Peserta mengambil bahagian dalam program penanaman pokok di Taman Awam Seroja pada 18 Januari lalu. Foto MDHS
PBTSELANGOR

MDHS tanam 300 pokok indahkan Taman Awam Seroja

SHAH ALAM, 29 JAN: Majlis Daerah Hulu Selangor (MDHS) menanam 300 pokok bagi mengindahkan landskap di sekitar Taman Awam Seroja, Bukit Sentosa pada 18 Januari lalu, kata yang dipertuanya.

Shukri Mohamad Hamin berkata program dengan kerjasama UMW Corporation itu membabitkan pelbagai tanaman antaranya Largerstomia Langkawiensis (Bungor) dan Talipariti Tiliaceum (Talipariti).

“Usaha ini bagi melengkapkan konsep teknologi hijau taman yang dilengkapi pengganti longkang tradisional (swales) bagi menyelesaikan isu banjir di kawasan berhampiran dan lampu solar Diod Pemancar Cahaya,” katanya dalam kenyataan.

Beliau berkata, program itu juga simbolik penyerahan RM5,000 oleh Jabatan Landskap Negara kepada Jawatankuasa Penduduk Seroja 5 untuk aktiviti gotong-royong, penanaman pokok, kebun komuniti dan pengindahan landskap.

MDHS komited menjadikan Hulu Selangor sebagai bandar rendah karbon menjelang 2030 melalui program inisiatif hijau seperti Hari Tanpa Kenderaan, Ikon Hijau, kitar semula dan kebun komuniti.


Pengarang :