BERITA UTAMAPILIHAN MINGGUANSELANGOR

Media sosial bukan tempat semai kebencian

SHAH ALAM, 5 JAN: Dato’ Menteri Besar, Dato’ Seri Amirudin Shari menasihatkan semua pihak supaya menjadikan media sosial sebagai landasan tujuan yang lebih produktif.

Katanya, media sosial sebenarnya memberikan banyak kebaikan jika digunakan secara betul dan berhemah.

Beliau berkata, bagaimanapun kini medium berkenaan dijadikan tempat menyemai kebencian dan tidak ketinggalan, buli siber.

“Antara kebaikan media sosial adalah dapat mencipta komuniti dan merapat jurang komunikasi.

“Namun, adakah anda tahu hantaran ucapan benci dalam talian tentang orang lain adalah satu bentuk buli siber?” soalnya.

Beliau berkata demikian menerusi ciapan di Twitter miliknya, @AmirudinShari hari ini.

Justeru, Amirudin mengajak orang ramai supaya menghentikan aktiviti tidak bermoral berkenaan, sekali gus memastikan dunia media sosial kekal menjana perubahan positif, berbanding kesan negatif.

“Mari kita menghentikan buli siber. Media sosial sepatutnya menjadi landasan untuk berkomunikasi dan meningkatkan pengetahuan, bukannya membuat musuh,” katanya.

Untuk rekod, Malaysia menduduki kelompok kelima tertinggi di dunia dan tempat teratas di Asia Tenggara dalam penembusan media sosial mudah alih, demikian menurut Hootsuite and We Are Social dalam laporan terkini Digital 2019.

Laporan itu berkata, penembusan internet di Malaysia kini pada tahap 80 peratus, dengan pengguna membelanjakan purata lapan jam lima minit sehari secara dalam talian.


Pengarang :