AGENDA JENAYAH

Mercun untuk pasaran Tahun Baru Cina bernilai RM1.5 juta dirampas

JOHOR BAHRU, 1 JAN: Pasukan Polis Marin (PPM) Wilayah Dua merampas 717 kotak mercun dan bunga api pelbagai jenis yang dianggarkan bernilai lebih RM1.5 juta dalam serbuan di dua premis perniagaan dan sebuah lori di Taman Universiti serta Taman Perniagaan Seti di sini, semalam.

Komander PPM Wilayah Dua, Asisten Komisioner Polis Abdul Rahman Mohamad berkata, dalam serbuan antara 3.30 petang dan 7.30 malam itu, pihaknya turut menahan dua lelaki tempatan berumur 27 dan 37 tahun, di kedua-dua premis terbabit.

“Keseluruhan rampasan ini dianggarkan bernilai RM1.63 juta termasuk lori terbabit yang dianggarkan bernilai RM80,000.

“Menerusi serbuan pertama pada 3.30 petang di sebuah premis yang dijadikan stor penyimpanan di Taman Universiti, sebanyak 160 kotak mercun dan bunga api dirampas yang dianggarkan bernilai RM521,640,” katanya kepada pemberita di sini, hari ini.

Abdul Rahman berkata, dalam serbuan kedua di premis yang turut dijadikan stor penyimpanan di Taman Perniagaan Setia pada kira-kira 7 malam pula, sebanyak 256 kotak mercun dan bunga api bernilai RM561,570 dirampas.

Dalam serbuan ketiga ke atas lori jenis Isuzu yang diletakkan di hadapan premis tersebut, kira-kira setengah jam kemudian, sebanyak 301 kotak mercun dan bunga api bernilai RM481,170 dirampas, katanya.

Menurutnya, serbuan dilakukan selepas PPM Wilayah Dua bertindak atas maklumat awam berkaitan penyimpanan mercun dan bunga api itu yang dipercayai untuk dipasarkan sempena sambutan Tahun Baharu 2020 dan Tahun Baru Cina.

“Serbuan diketuai tiga pegawai dan 11 anggota PPM Wilayah Dua dengan dibantu dua anggota Balai Polis Taman Universiti.

“Kita percaya mercun dan bunga api ini disimpan di kedua-dua premis berkenaan sejak bulan lepas untuk edaran di sekitar negeri ini,” katanya.

Beliau berkata, pihaknya kini sedang menjalankan siasatan lanjut mengenai dari mana barangan terbabit diperolehi dan peranan kedua-dua lelaki itu mengikut Akta Bahan Letupan 1957.

– BERNAMA


Pengarang :