Noraini Roslan merasmikan Majlis Penempatan ‘Drop-Off Centre’ Tetra Pak & KPT serta Perasmian Perpustakaan Mini Sri Mutiara MPSJ 2020 di Pangsapuri Sri Mutiara di Shah Alam pada 12 Januari 2020. Foto Ihsan MPSJ
PBTSELANGOR

MPSJ gesa penduduk kitar semula barang terpakai

SHAH ALAM, 14 JAN: Menyedari masalah sampah yang semakin banyak, Syarikat Tetra Pak & KPT dengan kerjasama Majlis Perbandaran Subang Jaya (MPSJ) menyediakan 21 kabin kitar semula di bawah pentadbirannya.

Yang Dipertuanya, Noraini Roslan berkata buat masa ini sebanyak enam kabin kitar semula disediakan MPSJ manakala syarikat menyumbangkan 15 kabin untuk menampung aktiviti sama.

“Bagi menangani jumlah sampah yang semakin banyak, kita mempunyai 21 pusat kitar semula. Penduduk digalak mengasingkan sampah dengan barang yang boleh dikitar semula.

“Sebagai contoh, 15 kabin yang dijadikan pusat kitar semula diperbuat daripada bekas kotak minuman,” kata Noraini.

Beliau berkata demikian selepas merasmikan Majlis Penempatan ‘Drop-Off Centre’ Tetra Pak & KPT serta Perasmian Perpustakaan Mini Sri Mutiara MPSJ 2020 di Pangsapuri Sri Mutiara di sini Ahad lalu.

Selain itu, katanya, MPSJ turut menyediakan 16 pusat kitar semula kerana tahun lalu 684 tan sampah sehari dilupuskan dengan anggaran satu rumah menghasilkan 1.9 kilogram.

Beliau optimis penduduk serius menyertai program pengurangan sampah dengan melakukan pengasingan sisa barang terpakai.

“Statistik kitar semula MPSJ meningkat daripada 13.2 peratus pada 2018 kepada 18.2 peratus pada tahun lalu,” katanya.

Orang awam diseru menggunakan kemudahan pusat kitar semula dengan cara betul dan bukan untuk membuang sampah.


Pengarang :