Pengarah Pertanian Mohd Nasir Warris memberi taklimat kepada media pada Majlis Ramah Mesra Ketua Pengarah Pertanian Bersama Media di Pusat Pertanian, Serdang. Foto Sumber: BERNAMA
AGENDANASIONALSELANGOR

Musang King bakal dominasi tanaman durian menjelang 2022

SERDANG, 14 JAN: Varieti Musang King dijangka mendominasi jenis pokok durian yang ditanam di Semenanjung kepada 50 peratus pada 2022 berbanding 36 peratus sekarang, kata Ketua Pengarah Pertanian Mohd Nasir Warris.

Beliau berkata berdasarkan bancian dibuat pihaknya terdapat 1.576 juta pokok durian ditanam di Semenanjung pada masa ini, dengan pokok jenis Musang King adalah 569,000.

Katanya selain pembukaan kawasan baharu tanaman Musang King, dominasi varieti durian itu boleh berlaku sekiranya petani yang mempunyai pokok durian kampung yang sub standard atau tidak berkualiti, ‘menukarkannya’ kepada pokok durian Musang King.

“Jadi, kita akan lihat pada tahun-tahun akan datang, peratusan durian kampung ini akan berkurang manakala Musang King akan bertambah,” katanya pada majlis ramah mesra Ketua Pengarah Pertanian Bersama Media di sini, semalam.

Mohd Nasir berkata antara tujuan digalakkan penanaman Musang King ialah bagi meningkatkan eksport kerana durian itu mempunyai permintaan tinggi di luar negara terutamanya China serta berupaya menambah pendapatan petani kerana harganya yang mahal berbanding durian biasa.

Beliau berkata pihaknya akan membantu para petani yang berminat dengan tanaman itu memastikan buah dikeluarkan selepas lima tahun ditanam adalah benar-benar varieti Musang King.

“Musang King tak boleh ditanam terus melalui bijinya. Dalam satu pangsa, ada tiga ulas durian kalau ditanam akan keluar pokok lain dan tidak sama dengan pokok asal.

“Sebab itu nak hasilkan durian yang varieti sama kena buat cantuman mata tunas, kita ambil dari dahan, ambil dari mata tunas pokok tersebut, jadi kita tidak perlu risau orang beli Musang King dan tanam, ia tidak akan keluar Musang King,” katanya.

-BERNAMA


Pengarang :